MIA tolak tawaran berlakon jika tidak hormati statusnya yang kini bertudung.
Oleh Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Peribahasa ini sangat dekat dengan pelakon baru, Mia Ahmad, 27, tatkala disunting untuk berlakon dalam drama bersiri Hati Perempuan.

Mengenali Mia, ramai tertanya-tanya siapakah gadis manis bertudung litup memegang watak Yuhanis dalam drama untuk slot Akasia di TV3 itu.

Bertemu di set penggambaran drama arahan Kas Roshan, SELEBRITI cuba mengenali anak kelahiran Taiping, Perak ini.

Mia atau Shamiha Ahmad Baderi berkata, segala-galanya bermula selepas dia berjaya membawa watak Anis dalam drama bersiri Ku Tak Rela untuk slot Azalea.

“Sebelum itu, saya pernah membawa watak sokongan dalam beberapa drama bersiri seperti Rindu Awak 200% dan Romi Cinta Julia,” katanya.

Kata Mia, dia sebenarnya bermula dengan iklan komersial, kemudian mencuba watak ekstra. Kebetulan penerbit Hati Perempuan mencari watak sokongan dan dia diminta menghadiri uji bakat.

“Pada mulanya saya ditawarkan watak sokongan tapi mungkin dinamakan rezeki, nama saya naik untuk watak utama berganding bersama Syarul Ridzwan.

“Memang gementar tatkala mendapat tawaran itu kerana kali pertama diberi watak utama,” katanya.

Mia akui gementar walaupun pada waktu sama ramai artis ingin berada di tempatnya kerana Akasia adalah slot yang dianggap terbaik untuk membina nama dalam industri hiburan.

“Hakikatnya saya ada alasan sendiri. Beraksi di slot paling popular di televisyen boleh menyebabkan seorang artis itu jatuh atau naik.

“Pada awalnya saya memang takut dan ragu-ragu untuk menerima tawaran itu. Saya berfikir, lebih baik saya bermula dari bawah.

“Namun selepas berfikir secara mendalam, mungkin ini dinamakan rezeki. Saya banyak kaji watak dan melakukan persediaan awal di segi pembacaan skrip dan penampilan watak Yuhanis kelak,” katanya.

Yuhanis yang tegas dan berdikari bekerja sebagai arkitek di syarikat Izzudin & Co. Dia cuba dipikat jejaka kacak yang juga CEO Paradigma Holding, Tengku Zaril lakonan Syarul Ridzwan.

Bagaimanapun, ketampanan dan kekayaan Tengku Zaril yang sering menjadi kegilaan gadis lain tidak memikat hati Yuhanis. Baginya, Tengku Zaril ialah lelaki kaya yang sinis dan menjengkelkan.

Hati Perempuan adalah adaptasi dari novel karya Nur Ain Al-Abbas dan disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 petang sejak 30 Mac lalu, menggantikan drama Teman Lelaki Upahan.

Walaupun drama itu baru seminggu disiarkan, Mia akui mendapat maklum balas positif daripada penonton yang rata-rata menyukai lakonannya.

Malah ada juga yang bertanya sama ada pemakaian hijab ha­nya untuk watak Yuhanis. Selepas dijelaskan penampilannya memang berhijab walaupun di luar set penggambaran, mereka (penonton) mula memberi kata-kata semangat dan positif.

“Apabila berhijab, saya kena tahu had dan cara untuk membawa diri supaya tidak lari dari tuntutan watak dan kehendak pe­ngarah.

“Di segi lakonan, saya banyak berbincang dengan pengarah dan penerbit supaya kedua-dua pihak mencapai kata sepakat. Ia perlu sebab kita mahu mengelak menyusahkan orang lain,” katanya.

Anak keempat daripada lima beradik yang juga bekas pramugari Air Asia X ini berhijab sejak pertengahan 2014. Sejak berhijab, Mia sentiasa menguatkan istiqomahnya supaya kekal berhijab sebagaimana dituntut dalam Islam.

Mia bersyukur, keputusannya tidak membataskan rezekinya dalam dunia lakonan, malah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada produksi dan rakan pelakon lain.

“Pun begitu, saya masih perlu berhati-hati apabila membuat keputusan menerima tawaran berlakon. Seandainya tawaran itu bagus tapi tidak dapat berkompromi dengan status saya yang kini berhijab, saya perlu tolak,” katanya tegas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:09 AM