ANGGOTA militan Yaman yang dikenali Pergerakan Pemisah Selatan mengawal sebuah kereta kebal di daerah Tawahi, Aden, semalam.
AFP

Aden: Serangan udara diketuai Arab Saudi semalam berjaya mengusir pemberontak Yaman dari istana presiden di Aden.

Operasi berkenaan sebelum ini gagal menghalang puak pemberontak daripada mara ke bandar raya itu - kubu terakhir pejuang yang setia kepada Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi yang kini melarikan diri ke Arab Saudi - malah kumpulan itu berjaya menawan istana presiden kelmarin.

Bagaimanapun, serangan sepanjang malam oleh tentera diketuai Arab Saudi berjaya mengusir pemberontak terbabit, semalam, lapor seorang pegawai kanan yang enggan dinamakan.

“Houthi dan sekutu mereka meninggalkan istana Al-Maashiq sebelum Subuh, semalam,” katanya.

Sumber keselamatan dan agensi berita Saudi, SPA, turut melaporkan pejuang anti-Abed Rabbo sudah meninggalkan istana berkenaan dan dipercayai menuju ke Khor Maksar berhampiran.

Sementara itu, keadaan di Aden dilaporkan ‘stabil.’

Jurucakap Brigadier Jeneral Ahmad Assiri berkata: “Militia Houthi tidak mengawal mana-mana bangunan kerajaan di Aden.”

Ketua Bantuan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Valerie Amos berkata, 519 orang terbunuh dan hampir 1,700 cedera sejak pertempuran bermula, dua minggu lalu.

Dia turut menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan orang awam yang mungkin terperangkap di lokasi pertempuran.

Konflik di Yaman turut mewujudkan ketegangan antara Iran dan Arab Saudi - dua kuasa Syiah serta Sunni utama di Asia Barat.

Iran menafikan sekeras-kerasnya membekalkan senjata kepada pemberontak Syiah Houthi yang turut bergabung dengan unit tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh seterusnya menawan beberapa kawasan utama Yaman, termasuk ibu negara Sanaa.

Sementara itu, di Mukalla, ratusan militan al-Qaeda mengibarkan bendera hitam kumpulan pelampau itu dilihat membuat rondaan dan mengadakan sekatan jalan, sehari selepas menggempur sebuah penjara serta membebaskan 300 banduan termasuk anggotanya.

Kejatuhan kerajaan Yaman memaksa Amerika Syarikat (AS) menutup kedutaannya di negara itu dan mengundurkan operasi khas yang membantu kerajaan Yaman memerangi al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP).

Bagaimanapun, bagi menyokong kempen ketenteraan Arab Saudi ketika ini, AS menyediakan kesudahan mengisi minyak pesawat di udara.

Ia turut menyerahkan bahan risikan diterima daripada satelit bagi membantu Arab Saudi memantau sempadannya serta mengesan lokasi pemberontak Houthi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:12 AM