KEENA makin menyerlah sebagai pelakon dengan watak antagonis.
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Memulakan langkah dalam bidang nyanyian menerusi program Mentor musim ketiga pada 2009 dengan menjadi anak didik kepada Awie, ia bukan tiket mudah bagi Keena untuk terus bergelar penyanyi.

Selepas enam tahun, barulah nama Keena atau Suriana Abd Wahab, 28, menjadi perhatian apabila dia lebih cenderung membabitkan diri dalam bidang lakonan.

Keena berkata, pembabitannya dalam lakonan sekadar mencuba nasib untuk mempelbagaikan bakat seni dimilliki seperti yang dilakukan Awie.

“Saya melihat abang Awie bukan saja berbakat dalam nyanyian, tetapi dia juga aktif berlakon untuk filem dan teater. Awie pada kaca mata saya adalah penghibur serba boleh.

“Menyimpan impian besar ingin berjaya seperti dia membuatkan saya perlu berani mencuba dan rajin mencari peluang.

“Tidak sangka juga lakonan saya dalam drama Hotel Mania terbitan KRU Studios pada 2010 berjaya membuka peluang untuk bergiat lebih aktif.

“Sehingga kini, selain menyanyi sebenarnya sudah banyak juga drama saya bintangi. Bahkan, tawaran watak pula saya lebih menjurus sebagai watak jahat,” katanya.

Keena yang kini sibuk di lokasi drama Puteri Gunung Ledang untuk saluran Hypp TV sebanyak 30 episod berkata, dia juga turut membintangi drama bersiri Bukan Isteri Sempurna untuk slot Samarinda TV3.

Berbicara mengenai watak jahat lakonannya, Keena berkata, dia pun tidak menyangka melakonkan watak itu lebih meninggalkan kesan kepada penonton.

Katanya, dia yang pernah mengadakan persembahan di luar ibu kota agak terkejut apabila lakonannya dengan watak sedemikian meninggalkan kesan kepada masyarakat.

“Pernah ada seorang makcik mengenali saya de­ngan nama watak dilakonkan dan dia marah kerana bagi­nya saya terlalu jahat.

“Saya sedia menerima segala teguran dengan hati terbuka dan memandang ke arah positif. Malah, kritikan itu juga dijadikan sebagai panduan untuk memberikan lakonan yang lebih baik,” katanya.

Mesra mengatur bicara, Keena berkata, sebagai anak seni dia juga lebih selesa jika bakatnya lebih menjadi perhatian peminat. Pun begitu, katanya dia juga tak mampu mengelak kisah sensasi.

Beberapa tahun lalu dia pernah dihambat gosip de­ngan penyanyi Indonesia, Firman Siagian hanya disebabkan foto mesra mereka tersebar.

Katanya, meskipun di antara mereka tiada hubungan istimewa, tetapi sebaik foto mesra itu tersebar nama Keena akhirnya tercemar dengan gosip.

Menganggap apa yang berlaku itu sebagai pengalaman yang mematangkan diri, kini dia begitu berhati-hati dalam setiap geri-gerinya bagi mengelak terpalit kisah sensasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:04 AM