Menghadiri sesebuah majlis menjadi perkara biasa apabila kita disajikan dengan jamuan makan.

Kerja SS sebagai seorang wartawan di mana saja majlis yang SS hadiri makanan menjadi perkara kedua selepas selesai menemu bual dan mendapatkan apa-apa bahan yang diperlukan.

Namun sebagai seorang wartawan, menyiapkan tugasan dengan menemu bual adalah perkara utama, selagi tidak selesai menemu bual orang-orang yang dikehendaki selagi itulah kami akan berlapar.

Mungkin tidak pada orang lain, bagi mereka setiap kali menghadiri sesuatu majlis makanan akan dicari dulu apabila majlis selesai.

Tidak SS nafikan ada yang datang itu berlapar kerana tidak sempat makan, ada juga yang makan siap-siap bimbang majlis bermula lambat.

Bercakap soal makanan di majlis, SS teringat cerita teman mengenai seorang artis ini.

Ceritanya, teman SS menghadiri sebuah majlis pelancaran program dan selesai pelancaran itu, teman SS minta izin untuk menemu bualnya, namun sebelum itu dia diminta untuk mengambil gambar dulu.

Ketika itu teman SS disuruh menunggu di kerusi yang disediakan untuk menemu bual dan duduklah teman SS di situ. Tunggu punya tunggu tidak lama selepas itu, teman SS terlihat kelibat artis berkenaan yang jalan laju meluru ke arah meja makan.

Tergamam teman SS melihat gelagatnya. Apabila ditanya dia hendak ke mana, jawab orang yang berada di situ, dia mahu makan dulu kerana terlalu lapar.

Kenapalah tidak beritahu mahu makan dulu. Kan senang? Disebabkan itu terpaksalah orang tunggu lama.

Sebagai media, SS sendiri tiada masalah jika artis mahu makan dulu, tetapi beritahulah kepada kami janganlah kita sudah menunggu dibiarkan menunggu macam orang bodoh.

SS: Makan kenyang-kenyang sebelum hadir ke majlis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 11:59 AM