TERUJA menyaksikan keindahan kota Paris dari kapal.
Oleh Shakilawati Abd Rahman
shakilawati@hmetro.com.my


Pengalaman indah buat penyanyi tersohor ta­nah air, Anuar Zain apabila dapat menikmati makan malam di Bateaux Parisian sambil menyusuri Sungai Seine dan bersiar-siar sekitar kota Paris bersama peminat.

Percutian enam hari lima malam bermula 6 Oktober lalu itu membuka ruang kepada­nya mengenali lebih dekat serta menghargai pemenang hadiah utama cabutan bertuah per­sembahan Minggu Kesetiausahaan Terindah anjuran Anuar Zain Network Sdn Bhd yang berlangsung pada April lalu, Embran Ahmad serta isterinya Hafidah Saperi.

Anuar ketika berada di Kota Romantik itu sempat berkongsi pengalaman menarik berkenaan bersama SELEBRITI, malah menyuarakan rasa terima kasih terhingga kepada FBA Media Sdn Bhd kerana sudi menaja percutian terbabit.

"Ini pengalaman pertama saya menikmati makan malam sambil menyusuri Sungai Seine dan lebih istimewa, pemenang cabutan bertuah persembahan Terindah turut ada sama.

"Kami sangat teruja me­nyaksikan panorama indah kota Paris dari atas kapal. Antara bangunan yang menjadi kebanggaan penduduk di sini dapat kami lihat adalah Istana De Chaillot, Arc de Triomphe, Notre Dame dan Menara Eiffel.

"Terima kasih kepada FBA Media kerana sudi merealisasikan impian saya bercuti bersama peminat," katanya.

Penyanyi terkenal dengan lagu Lelaki Ini turut menemani Embran serta Hafidah berkunjung ke muzium dan tugu bersejarah terbesar yang menjadi tumpuan dunia, Muzium Louvre.

Jelasnya, kira-kira 35,000 khazanah dari zaman prasejarah hingga abad ke-19 dipamerkan dalam muzium berkeluasan 60,600 meter persegi itu.

"Muzium ini berada dalam kawasan Istana Louvre yang asalnya sebuah kubu yang dibina lewat abad ke-12 di bawah pemerintahan Raja Philippe II. Peninggalan itu masih dapat dilihat di bahagian bawah tanah muzium.

"Bangunan ini diluaskan ba­nyak kali, malah pada 1672 saya difahamkan Raja Louis XIV memilih menetap di Istana Ver­sailles dan menjadikan Louvre tempat memaparkan koleksi diraja termasuk arca Rom dan Yunani Purba.

"Ketika Revolusi Perancis, Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan memutuskan Louvre seharusnya dimanfaat­kan sebagai muzium memaparkan karya agung Perancis.

"Ia dibuka pada 10 Ogos 1073 dengan pameran 537 lukisan dan terus bertambah dari semasa ke semasa. Setakat 2008, koleksi dibahagikan kepada lapan jabatan kurator ia­itu Purba Mesir, Purba Timur Dekat, Purba Greek, Etruscan dan Purba Rom. Selain itu Kesenian Islam, Arca, Seni Hiasan, Seni Lukisan, Cetakan dan Lukisan.

"Kami sangat gembira berada di sini, menikmati kehalusan seni lukisan dan keindahan artifak tinggalan sejarah lama. Ba­nyak ilmu diperoleh secara langsung dan tidak langsung sepanjang berada di sini," katanya.

Jelas Anuar lagi, mereka turut berpeluang ke lebuh berprestij paling terkenal dunia dan diiktiraf sebagai jalur hartanah paling mahal di Eropah, Champs-Elysees.

"Dentinasi penting ini turut menjadi tumpuan utama pelancong jika ke Paris. Di sini ada rangkaian kedai serta gedung mewah, panggung dan kafe. Kalau mahu cari bara­ngan berjenama mahal, di sinilah tempatnya," katanya.

Tambah Anuar lagi, kalau ke Paris tidak lengkap andai tidak berkunjung ke Menara Eiffel yang dibina atas Champ De Mars dan terletak bersebelahan Sungai Seine.

Ia bangunan tertinggi di Paris iaitu 300 meter serta di atasnya ada antena televisyen setinggi 24 meter yang menjadi simbol Perancis.

"Menghargai sokongan Embran dan Hafidah, saya melapang­kan sehari lagi untuk bawa mereka berjalan-jalan. Itu inisiatif saya dan berharap ia jadi kenangan manis buat mereka.

"Saya turut berharap dapat menikmati pengalaman indah seperti ini lagi bersama peminat di masa akan datang," kata­nya yang menyambung percutian seminggu lagi dengan ditemani pengurusannya dan turut menjayakan fotografi untuk sebuah majalah kembara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:00 AM