DARI kiri, Muhammad Razin, Noh dan Daqmie.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Genre nasyid pernah mencipta fenomena apabila menguasai industri seni sekitar pertengahan 1990-an.

Daripada orang dewasa sehinggalah kanak-kanak, semuanya kenal nama-nama kumpulan Raihan, Rabbani, Hijjaz dan banyak lagi.

Bagaimanapun, perubahan masa menyaksikan nasyid semakin terpinggir dan kembali pada kedudukan asal iaitu dimainkan di radio menjelang masuk waktu solat.

Melihat perlunya anjakan dalam perkara ini, Nasyeed.Com mengambil inisiatif menganjurkan Nasyeed Cover Song 2015 (NCS 2015) untuk meneruskan legasi serta meningkatkan semula momentum industri nasyid tanah air.

Sebelum ini, mereka pernah menganjurkan Anugerah Nasyeed.Com yang memberi kesan positif terhadap industri nasyid tempatan.

Menariknya, NCS 2015 pula menawarkan hadiah bernilai USD6,000 (RM22,167) dan bakal menyaksikan pembabitan peserta dari lima negara serantau iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand.

Pengarah Program Muhammad Razin Che Mud berkata, idea ini tercetus apabila melihat trend terbaru dalam kalangan remaja tempatan yang sering menyanyikan lagu kesukaan mereka dan kemudian memuat naik di YouTube bagi berkongsi bakat yang ada.

“Bahkan ada yang popular menerusi cara ini apabila disunting oleh syarikat rakaman yang membawa mereka ke tahap lebih tertinggi dalam industri muzik tempatan. Kami memang berharap lebih ramai bintang dapat dicungkil menerusi cara ini.

“Satu lagi, selepas kemenangan Daqmie dalam Anugerah Nasyid IKIM 2014 (ANI 2014), saya lihat momentum nasyid semakin berkembang dan kembali bersemarak seperti dulu. Jadi, dengan penganjuran NCS 2015, diharapkan irama nasyid akan kembali disukai peminat.

“Diharapkan dengan cara ini, lebih ramai kumpulan Raihan generasi baru akan muncul, sekali gus irama nasyid akan diminati. Dulu nasyid dipandang tinggi, malah rekod penjualan album Raihan lebih 600,000 unit belum diatasi oleh mana-mana artis,” katanya.

Sementara itu, Daqmie yang juga Pengarah Bersama NCS 2015 berkata, sebanyak 30 peserta dari setiap negara akan dinilai secara langsung yang kemudiannya akan dikecilkan jumlahnya kepada enam peserta pada pentas akhir.

“Juri untuk program ini terdiri daripada saya sendiri, Noh Salleh dan Cikgu Siti Hajar. Kami benarkan peserta menyanyi sama ada secara acapella atau dengan iringan muzik mengikut kreativiti sendiri, tapi menolak konsep parodi.

“Pakaian pula bebas asalkan menutup aurat dan menepati kehendak syarak. Kami juga sedang dalam perbincangan dengan dua buah stesen TV yang berminat menyiarkan NCS 2015 di stesen mereka.

“Saya pernah buat persembahan di Indonesia dan mendapati mereka sangat menghargai irama nasyid dari Malaysia. Lagu-lagu kita juga digemari oleh masyarakat Siam yang dikenali sebagai orang Jawi di Pattani, Thailand.

“Jadi, pertandingan ini juga bermatlamat memupuk semangat kebersamaan dan ukhuwah Islamiah di antara negara yang terbabit,” katanya.

Penyertaan Nasyeed Cover Song 2015 terbuka kepada lelaki dan wanita secara solo atau berkumpulan seramai empat orang maksimum berumur 18 tahun ke atas.

Mereka perlu merakam lagu pilihan dan memuat naik ke YouTube dan berkongsi di laman sosial dengan menaip #nasyeedcovermsia untuk peserta dari Malaysia dan menaip #semuabolehnasyeed.

Mereka juga dikehendaki menghantar e-mel butiran peribadi iaitu nama, alamat, nombor telefon, nombor kad pengenalan, tarikh lahir serta link YouTube lagu mereka ke coversong@nasyeed.com.

Sebanyak 25 buah lagu disenaraikan antaranya lagu nyanyian Aishah, Raihan, Rabbani, Daqmie, Saujana, Hijjaz, Wildan dan banyak lagi.

Penyertaan akan ditutup pada 30 April 2015 dan sebarang maklumat lanjut boleh diperolehi di laman Facebook Nasyeed.Com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 11:51 AM