Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yakin kemasukan pelabur ke negara ini tidak akan terjejas biarpun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan sekarang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud berkata, MIDA tidak melihat GST sebagai faktor atau penghalang kepada kemasukan pelaburan di Malaysia.

Katanya, malah sebelum Malaysia, GST sudahpun dilaksanakan di 146 negara di seluruh dunia dan kebanyakan syarikat yang melabur ke negara ini sudah biasa dengan GST.

“Malaysia sebenarnya sentiasa menjadi destinasi pelaburan yang stabil dan hakikatnya pelabur tidak membuat penilaian untuk melabur bersandarkan GST semata-mata, bahkan mereka melihat kepada faktor pertumbuhan ekonomi berterusan negara ini, keamanan negara, dasar sokongan kerajaan serta kemudahan infrastruktur.

“Pencapaian jumlah pelaburan yang diluluskan juga melepasi sasaran tahun ke tahun sejak 2009 lagi dan suku pertama tahun ini juga, MIDA berada di landasan yang tepat mencapai jumlah ditetapkan,” katanya selepas merasmikan Mega Trends Malaysia oleh Frost & Sullivan di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Negara (Malaysia) dan Timbalan Presiden Kanan Frost & Sullivan, Hazmi Yusof dan Pengarahnya, Barry Lim.

Mengulas mengenai penurunan ringgit, Azman berkata walaupun wujud kebimbangan ke atas kedudukan ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat selain kejatuhan harga minyak dunia, situasi itu tidak mencemaskan memandangkan Malaysia sudah melalui krisis kewangan sebelum ini.

Sementara itu, Hazmi berkata, Frost & Sullivan dengan usaha sama MIDA, sudah melancarkan Mega Trends Malaysia bagi penyelidikan terbaru yang dapat membantu mengenal pasti kesan yang boleh dicapai pada masa akan datang terutama dalam perniagaan, masyarakat, ekonomi, budaya dan kehidupan peribadi.

Beliau berkata, menerusi laporan Mega Trends Malaysia ini juga pihaknya berharap ia dapat digunakan sebagai rangka kerja untuk berfikir bagaimana berinovasi dan memacu perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

“Penyelidikan yang dijalankan ini juga bakal membentuk pelan tindakan dan ekosistem untuk Malaysia sebagai destinasi semula jadi pelaburan asing dan domestik terutama dalam sektor perkhidmatan dan perindustrian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 8:37 AM