Shahruddin (lima dari kiri) beramah mesra dengan pemenang Peraduan Padan dan Menang Revive Isotonik.
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Bhd (PDB) optimis mencatatkan jualan sehingga RM1 bilion daripada Kedai Mesra tahun ini sama seperti direkodkan tahun lalu walaupun berdepan dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas pelanggannya.

Bagaimanapun, anak syarikat Petronas itu tidak melihat pelaksanaan GST memberi kesan signifikan kepada prestasi jualan Kedai Mesra atau jualan minyak di stesen minyak miliknya memandangkan ia satu keperluan pengguna.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Perniagaan Peruncitan PDB, Shahruddin Muhammad Sidek berkata, jualan keseluruhan Kedai Mesra berkemungkinan juga meningkat dari tahun lalu dengan pembukaan 20 cawangan baru di seluruh negara dengan anggaran perbelanjaan setiap cawangan antara RM3 juta hingga RM4 juta setiap satu bergantung kepada kos tanah dan perkara lain.

Pembukaan cawangan baru itu bagi menambah kepada 1,064 cawangan stesen Petronas sedia ada di seluruh negara. Namun, pembukaannya bergantung kepada prestasi ekonomi semasa.

“Semua cawangan baru berkenaan mempunyai Kedai Mesra yang boleh membantu meningkatkan nilai jualan tahun ini.

“Tambahan, pelaksanaan kempen dan pengenalan kad kesetiaan pelanggan Petronas kini yang mempunyai 3.6 juta orang membantu merancakkan lagi perbelanjaan di Kedai Mesra,” katanya pada pengumuman pemenang Peraduan Padan dan Menang Revive Isotonik dan Petronas di sini, semalam.

Peraduan itu berlangsung pada November hingga Disember 2014 menawarkan hadiah utama untuk menyaksikan perlawanan secara langsung pasukan terkenal Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, tiga hadiah tempat pertama iaitu Samsung S5, lima hadiah di tempat kedua berupa Xbox serta 10 hadiah di tempat ketiga iaitu jam tangan Casio G-Shock.

Pemenang hadiah utama ialah Oon Soo Ong, 49, ahli farmasi dari Damansara yang menerima tiket penerbangan serta kemudahan hotel bagi menyaksikan perlawanan berkenaan.

Kempen sebeginib adalah usaha PDB bersama rakan niaga Pemanis Sdn Bhd menghargai pelanggan setia dan kempen bagi jenama masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 8:36 AM