CANTIK manis ke pejabat.
1. SEBELUM disolek.
2. SAPUKAN bedak asas dan bedak padat pada wajah dengan sekata.
3. KEMUDIAN, lakukan bayangan pada hidung bagi menampakkan hidung lebih mancung dan terletak.
4. SETERUSNYA, sapukan pembayang mata menggunakan warna semula jadi atau pastel.
5. RATA dan kemaskan bulu kening supaya kelihatan lebih tersusun.
6. KEMUDIAN, sapukan maskara bagi menampakkan bulu mata lebih panjang dan lentik.
7. AKHIR sekali, sapukan gincu mengikut warna digemari bagi melengkapkan solekan. Gincu haruslah menggunakan warna lembut dan tidak terlalu terang.
CIK Non bersama model selepas siap enam langkah mudah solekan ke pejabat.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Penampilan diri yang cantik dan kemas setiap kali melangkah ke pejabat antara perkara yang memainkan peranan dalam memberi aura positif selain mampu meningkatkan tahap keyakinan diri ketika berdepan majikan mahupun rakan sekerja.

Selain fesyen yang bersesuaian, jenis solekan juga perlu tepat supaya penampilan nampak sempurna dan tidak keterlaluan.

Solekan nipis dengan pemilihan warna solekan semula jadi memang sesuai kerana ia mampu menjadikan penampilan kelihatan segar dan manis dipandang sekali gus membantu menceriakan hari yang sibuk dengan tuntutan tugas yang padat.

Penggunaan warna pastel dan lembut amat sesuai untuk digayakan ke pejabat kerana ia menampakkan penampilan diri manis dan matang menerusi pilihan warna bersesuaian untuk ke pejabat atau urusan formal.

Menurut jurusolek profesional Noraini Ab Hamid atau lebih dikenali sebagai Cik Non, solekan ke pejabat tidak boleh dikenakan keterlaluan dan perlu nampak lembut bagi memastikan ia sesuai dengan situasi hari berkenaan.

Penggunaan warna bersesuaian sangat memainkan peranan supaya penampilan tidak kelihatan janggal, sekali gus mengundang rasa rendah diri sekiraya solekan yang dikenakan tidak sesuai.

“Tempoh bersolek juga tidak terlalu lama dan hanya memerlukan masa 20 minit sebelum anda sudah siap untuk bersolek dan mengenakan pakaian.

“Masa yang singkat untuk bersolek membantu anda supaya tidak kelam-kabut terutama ketika waktu pagi sebelum ke pejabat. Apabila keadaan terkawal, tentunya ia dapat mewujudkan aura dan perasaan positif sebelum masuk ke pejabat,” ujarnya.

Solekan perlu sedikit nipis kerana solekan tebal lebih sesuai untuk majlis rasmi atau menghadiri jamuan makan malam bukannya ke pejabat.

Pada ruangan kali ini, Cik Non berkongsi enam langkah mudah solekan ringkas untuk kelihatan manis dan cantik sesuai ke pejabat tanpa memerlukan tempoh lama untuk bersolek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 12:59 PM