KEINDAHAN pantai di Sabah menjadikan ia destinasi popular di seluruh dunia.
KEUNIKAN budaya dan tradisi masyarakat Sabah juga antara tarikan pelancongan yang menggamit pelancong.
KEUNIKAN monyet Belanda yang hidup bebas di dalam habitatnya sendiri mengujakan pengunjung yang melihatnya.
KAWASAN tanah tinggi di Sabah menjanjikan kedamaian buat pengunjungnya.
DASAR laut perairan Sabah janjikan keunikan dan tarikan tersendiri.
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Keunikan pantai dan dasar laut, keindahan kawasan tanah tinggi serta hutan hujan tropika yang kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna membuatkan kunjungan ke Sabah berbaloi.

Mendapat jolokan ‘Negeri Di Bawah Bayu’, Sabah antara destinasi pelancongan di Malaysia yang menawarkan pelbagai tarikan pelancongan.

Dengan kedatangan 90,225 pelancong Korea dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu berbanding 106,203 pelancong bagi 2013, Sabah kini muncul destinasi pilihan pelancong Korea Selatan.

Angka ketibaan pelancong dari Korea Selatan di negeri yang menempatkan Gunung Tertinggi di Asia Tenggara itu dijangka terus meningkat tahun ini dengan pelbagai usaha yang diambil Tourism Malaysia.

Sabah menawarkan keunikan dengan pelbagai tarikan pelancongan seperti keindahan pulau dan Gunung Kinabalu, budaya dan tradisi pelbagai kaum.

Hotel dan resort yang selesa juga salah satu daya penarik pelancong Korea Selatan memilih Sabah sebagai destinasi.

Tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, Sabah mempunyai pelbagai pilihan hotel dan resort dengan menawarkan konsep tersendiri.

Tidak kira hotel atau resort bertaraf enam bintang atau tidak, keselesaan menginap yang diberikan nyata menggamit pelancong dari Korea Selatan ini.

Kemudahan dan perkhidmatan itu antara sebab mereka suka berkunjung ke Sabah.

Keunikan yang ditonjolkan di Mari Mari Cultural Village juga salah satu tarikan pengunjung Korea Selatan.

Ini kerana, menerusi kunjungan ke Mari Mari Cultural Village, mereka dapat mengenali adat resam etnik di Sabah.

Terletak kira-kira 25 minit perjalanan dari bandar Kota Kinabalu, perkampungan budaya ini berperanan sebagai muzium yang memelihara khazanah etnik Borneo.

Kunjungan ke perkampungan yang menarik dan unik membolehkan pelancong mengenali sejarah, budaya dan tradisi Borneo.

Mari Mari Cultural Village menonjolkan lima suku kaum etnik berbeza iaitu Kadazan-Dusun, penduduk rumah panjang Rungus, pemburu dan nelayan Lundayeh, Bajau Laut dan Murut.

Monyet Belanda atau Proboscis Monkey yang hanya terdapat di Borneo menggamit pelancong Korea Selatan.

Dikenali Bayau oleh masyarakat tempatan, monyet berhidung panjang itu salah satu spesies terbesar di dunia.

Untuk melihat si monyet, ia memberikan cabaran tersendiri kerana pelancong perlu menyusur sungai dengan bot untuk melihat haiwan itu yang hidup bebas di habitatnya.

Monyet itu biasanya hidup dalam berkumpulan dan bersifat nomad.

Monyet jantan terkenal dengan panggilan ‘playboy’ kerana hidup dalam berkumpulan dan ditemani tiga atau empat monyet betina. Ia mempunyai tapak kaki yang besar membolehkan berenang dengan mudah.

Antara lokasi melihat monyet itu ialah Kampung Tamau di Kota Belud, Kampung Samawang di Labuk Bay, Sandakan, Klias Proboscis Monket Wetlands dan Kampung Weston Beaufort.

Sabah juga terkenal dengan destinasi makanan laut terbaik dam disajikan segar memandangkan negeri itu kaya dengan sumber laut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 12:32 PM