JULIANA yang dikaitkan dengan SonaOne ingin fokus kepada kerjaya.
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my


“Kami hanya berkawan, tidak lebih dari itu,” kata pelakon jelita Juliana Evans mengenai dakwaan dia dikatakan bercinta dengan penyanyi hip hop SonaOne.

Juliana ketika ditemui berkata, dia sendiri mengenali gadis yang rapat dengan SonaOne dan apabila nama mereka terus dikaitkan bersama, dia merasakan perkara itu tidak manis.

“Saya bukannya baru mengenali SonaOne. Kami berkongsi rakan yang sama. Saya bertemunya kembali selepas pulang ke Malaysia dari Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini. Ketika itu, saya menemani rakan baik yang juga penyanyi, Kaka Azraff merakam album terbarunya.

“Disebabkan sudah lama kenal dan kebetulan kami sekepala, hubungan rapat kami membuatkan orang salah faham. Walhal kami berkawan saja,” katanya.

Menyedari tidak mampu menolak gosip yang sudah menjadi asam garam dunia artis, Juliana yang pernah membintangi filem Hantu Bonceng dan Mael Lambong mengharapkan fokus atau tumpuan lebih kepada kerjayanya.

Apatah lagi, banyak ilmu yang ditimbanya sepanjang pengajian di AS yang mahu dikongsinya bersama penggiat dan peminat industri hiburan di sini.

“Semasa di AS, saya tidak pernah menjadikan ia tiket untuk bertindak bebas dan melakukan sesuatu di luar adap masyakarat orang kita. Ini kerana saya sedar biar terpisah benua, tetapi di zaman teknologi serba canggih macam-macam boleh terjadi.

“Sebolehnya jagalah nama sebaik mungkin. Begitu juga dalam hal kerja saya tak mahu sesuatu hasil yang baik boleh ditawarkan kepada perkembangan industri terencat dek berita-berita berbaur peribadi,” katanya yang juga pernah mengacarakan program E-Zone (Astro Ria), Majalah Moral (TVIQ), Bintang Kecil Raya (TV9) dan Remaja (TV3).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 10:57 AM