Putrajaya: Penghinaan terhadap Islam seperti penganjuran minum arak secara terbuka, Oktoberfest, dan program ‘I want to touch a dog’ akan digerakkan secara terang-terangan sekiranya umat Islam tidak bersatu, kata Tokoh Maal Hijrah 1436H Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman.

Katanya, usaha kumpulan yang berselindung di sebalik gerakan liberalisme, pluralisme dan hak asasi manusia itu hanya boleh dihalang sekiranya umat Islam bersatu dalam pandangan atau tindakan.

“Umat Islam di negara ini tidak seharusnya berbeza pendapat namun kalau ada ia harus diurus dengan baik sehingga dapat menyatukan pandangan untuk menegakkan maqasid syariah,” katanya ketika berucap selepas menerima anugerah itu pada sambutan Maal Hijrah 1436H peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa, di sini, hari ini.

Beliau menerima hadiah RM100,000, pingat penghargaan dan sijil penghargaan berbentuk plak berserta bingkai daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sheikh Ghazali yang juga Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara, berkata apa yang lebih menyedihkan ialah kealpaan umat Islam sudah memberi ruang kepada musuh untuk menyerang agama Islam melalui pelbagai sudut dalam media sosial.

Oleh itu, beliau menggesa umat Islam di negara ini untuk menolak perselisihan sehingga boleh menggugat ikatan ummah walaupun perbezaan pendapat dibenarkan dalam Islam.

“Apabila negara aman kerana tidak berlaku perpecahan, kita bersama-sama dapat melakukan amal ibadah tanpa konflik malah negara dapat merangka program pembangunan dan transformasi apabila rakyat bersatu padu menyalurkan pandangan dan bersama-sama membangunkan negara,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 8:35 PM