Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada Rabu depan bagi membincangkan semua perkara berkaitan pilihan raya ekoran kekosongan kerusi P044 Permatang Pauh.

Setiausahanya Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya sudah menerima makluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat kira-kira 2.30 petang tadi, mengenai kekosongan kerusi parlimen berkenaan.

Beliau berkata, kerusi Parlimen Permatang Pauh kosong berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan beliau.

"Sehubungan itu, selaras dengan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, wujud kekosongan luar jangka. Justeru, satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting seperti Hari Penamaan Calon; Hari Pengundian Awal; Hari Pengundian Biasa dan Daftar Pemilih," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 4:47 PM