ISSEY bersama isteri tercinta Syafiqqaa pada majlis persandingan mereka.
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.comm.my


Ketika bujang kehidupannya agak kelam-kabut, kini pelawak dan pengacara Issey Titan mengakui pengurusan dirinya makin teratur.

Issey atau nama sebenar Fazlisham Mat Hussin, 28, berkata, kehidupan hariannya sama sekali berubah sejak melangkah ke alam rumah tangga, baru-baru ini.

Issey yang berkahwin dengan pengacara program Sarapan di TV3, Syuhadaa Syafiqqaa Abdul Rashid, 23, berkata, kehadiran isteri di sisi menyuntik semangat buatnya untuk gigih bekerja.

Issey yang belum berkesempatan cuti berbulan madu berkata, dia kini sibuk di lokasi penggambaran musim baru program Bang Bang Boom untuk TV3 sebagai pengacara.

“Saya sebenarnya masih lagi dalam ‘mood’ terkejut kerana sudah memiliki seorang isteri yang membuatkan kehidupan harian saya bahagia dan makin teratur.

“Kalau dulu, kehidupan bujang saya macam koboi, sekarang segala urusan pakaian, makan minum, waktu tidur dan jadual kerja, boleh dikata semua itu sudah terjaga.

“Apapun, kesibukan saya dengan kerja yang terikat pelbagai komitmen menyebabkan perancangan bulan madu bersama isteri perlu ditangguh,” katanya yang merancang berbulan madu ke Korea Selatan.

Issey yang juga anak jati Kelantan berkata, dia perlu menangguhkan perancangan bulan madu itu hingga Mei nanti. Dia juga lega kerana isteri sangat memahami kerjayanya.

“Syafiqqaa juga boleh menerima rakan seangkatan saya dengan baik. Paling penting Syafiqqaa bukan seorang kuat cemburu.

“Saya juga sudah menjelaskan pada Syafiqqaa supaya dia tidak cepat melatah dengan apa saja cerita membabitkan kami kerana ia lumrah kehidupan seorang insan seni. Apapun, kami selesa berhati-hati,” katanya.

Tak bergaduh dengan Amar

Berbicara mengenai kumpulan Titan yang dianggotainya bersama Amar dalam program Bintang Mencari Bintang, Issey menafikan mereka berdua sedang bermasam muka.

Menurut Issey, disebabkan bakatnya lebih menyerlah sebagai pengacara dan Amar pula berlakon, tiba-tiba ada yang mendakwa mereka sekarang bergaduh.

“Saya dengan Amar masih baik. Tiada masalah di antara kami dan tiada sebab untuk kami bermasam muka. Titan juga masih wujud walaupun ia kurang aktif,” katanya.

Menyedari bidang seni yang terbuka dengan persaingan hebat ini, Issey berkata, dia dan Amar tidak bersikap memilih.

Katanya, apa saja peluang yang datang, itu adalah rezeki bagi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 9:59 AM