SERASI ketika berduet.
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

Selepas tiga tahun menyepi, bekas peserta Mentor musim kedua Nieyl kembali aktif dalam bidang nyanyian menerusi single Kisah Kita yang duet bersama Sabhi Saddi.

Meskipun baru diperkenalkan, lagu garapan komposer muda meningkat naik, Amylea itu terpilih sebagai lagu tema drama bersiri Bencinta yang kini ditayang di TV3.

Ketika ditemui di majlis pelancaran single dan muzik video Kisah Kita baru-baru ini, Nieyl atau nama sebenarnya Nuriylia Jailani, 30, menjelaskan dia cuma memperlahankan karier nyanyian kerana mahu menumpu terhadap keluarga.

“Saya ada membuat persembahan untuk majlis korporat dan pertubuhan bukan kerajaan cuma tidak diuar-uarkan oleh media.

“Memandangkan sudah berkeluarga dan mempunyai perniagaan saya perlu bijak membahagi masa dengan sebaiknya,” katanya.

Menurut ibu kepada anak berusia enam tahun itu, dia merancang untuk mengumpul semua lagu yang dihasilkan untuk dijadikan album.

“Memandangkan anak sudah besar sekarang, saya mahu kembali menyanyi dan hasrat ini turut disokong suami,” katanya.

Menceritakan mengenai single Kisah Kita, Nieyl ber­kata, lagu itu sedap didengari, penuh bermakna selain mempunyai aura tersendiri.

“Kali pertama mendengar single itu, saya terus tertarik dan bersetuju untuk menyanyikannya.

“Kebetulan saya mencari komposer muda yang berbakat sebelum didatangi Amylea yang menawarkan saya single itu,” katanya.

Sudah lama mengenali Amylea, penyanyi berkata rakaman lagu Kisah Kita dilakukan berasingan kerana berasa segan dengan Sabhi.

“Saya diberitahu akan berduet dengan seorang penyanyi, namun tidak diberitahu siapa sehinggalah sampai ke studio.

“Disebabkan kali pertama berkolaborasi dengan penyanyi lelaki membuatkan saya rasa malu sehingga terpaksa membatalkan rakaman,” katanya.

Namun, apabila berjumpa dengan Sabhi, saya mendapati mudah berkomunikasi dengannya menjadikan kami tiada masalah berkolaborasi.

“Segalanya berjalan lancar dan Sabhi memberi komitmen bagus bagi menjayakan rakaman itu,” katanya.

Syukur isteri memahami kerjayanya

Seperti Nieyl, Sabhi hanya mengetahui akan berduet dengan penyanyi itu sebaik tiba di studio.

“Single ini mengisahkan dua insan yang tidak sehaluan dan percintaan di antara suami dan isteri yang tidak kesampaian,” katanya.

Memulakan kerjaya nyanyian pada 2006, jejaka kelahiran Sandakan, Sabah itu turut terbabit dalam bidang lakonan dan peragaan.

Ketika ditanyakan mengenai alam rumah tangga, Sabhi menyifatkannya sebagai perkara terindah dalam hidupnya.

“Syukur isteri dan keluarga memahami kerjaya saya dan peminat sekarang sudah bidak menghargai bakat tanpa mengambil kira latar belakang dan kisah hidup,” katanya.

Lagu Sayang Giler penyanyi itu pernah dijadikan lagu tema bagi filem Cicakman. Manakala lagu Cinta Sesungguhnya kini berkumandang di corong radio.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 9:47 AM