KEADAAN lori yang terbabit kemalangan. FOTO Arifin Salleh
MAYAT mangsa yang maut dalam kemalangan. FOTO Arifin Salleh
Oleh Arifin Salleh

 

Alor Gajah: Dua pemandu dan seorang kelindan maut dalam kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah treler di Kilometer 221.3 Lebuhraya PLUS arah selatan, di sini, 5.15 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, pemandu lori 10 tan muatan sayur, Salamat Nawar, 54, dan kelindan, Ferdi Minune, 35, serta pemandu lori tiga tan, Ahmad Fauzi Morad, 46, mati di tempat kejadian.

Difahamkan, lori dipandu Salamat dari arah Kuala Lumpur hilang kawalan lalu merempuh treler muatan besi dipandu lelaki berusia 47 tahun di lorong kiri menyebabkannnya tersepit bersama kelindan.

Sejurus kemudian, lori tiga tan dipandu Ahmad Fauzi dari arah sama merempuh bahagian belakang lori 10 tan dipandu Salamat menyebabkannya tersepit dan mati di tempat kejadian.

Anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dibantu Rembau tiba bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah terpaksa mengambil masa hampir dua jam bagi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit di bahagian hadapan lori masing-masing yang remuk.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, ketiga-tiga mangsa parah di kepala dan anggota badan dan disahkan mati di tempat kejadian.

"Pemandu treler tidak cedera dan mayat dihantar ke bilik mayat Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 9:44 AM