Hamim (kiri) bersama Tetsuo Ishizu (kanan) pada sesi menandatangani MoU, semalam.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menandatangani memorandum persefahanam (MoU) dengan Panasonic Eco Solutions Malaysia Sdn Bhd (PESMY) untuk menggalakkan perkongsian dan meneroka kerjasama sinergis bagi meningkatkan Pelaburan Terus Asing (FDI) ke negara ini, sekali gus menjadikan negara sebagai hab perkhidmatan penyelesaian eko.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Hamim Samuri berkata, sehingga hari ini 20 syarikat di Malaysia dengan pelaburan bernilai RM5.9 bilion dalam segmen pembangunan dan pembuatan produk elektronik, sistem dan perkhidmatan, jualan, penyelidikan dan pembangunan, logistik dan perdagangan, kewangan, insurans, pengurusan dan kejuruteraan dan menyediakan lebih 11,889 pekerjaan.

“Tahun lalu, Jepun pelabur asing terbesar di Malaysia dengan jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan termasuk elektronik dan elektrik, kimia dan barangan kimia, produk galian bukan logam, produk logam asas, produk petroleum dan sektor kelengkapan pengangkutan yang berjumlah RM10.9 bilion,” katanya pada sesi menandatangani MoU itu di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata, MIDA mempunyai perancangan yang jelas bagi tahun 2015 dan 2016 untuk mengadakan jelajah di sekitar Jepun dalam usaha menarik minat pelabur industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negara berkenaan untuk melabur di Malaysia.

“Kerajaan menggalakkan pelaburan bersifat hijau dan banyak program dianjurkan ke arah mencapai misi itu dan kami juga berharap kerjasama ini menjadikan Malaysia sebagai negara mesra persekitaran dengan mengurangkan penggunaan pengurusan tenaga,” katanya.

Menurut Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Tetsuo Ishizu, perjanjian persefahanam itu mempunyai tiga objektif utama antaranya untuk memberi nasihat korporat kepada pembinaan kilang dan isu alam sekitar dalam sektor air dan tenaga serta beberapa isu yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 8:22 AM