Zafrul (kiri) bersama Azim pada majlis pelancaran Plug n Pay mobiliti PruBSN, semalam.

Kuala Lumpur: Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN), terus komited menggunakan teknologi terkini berasaskan peranti tablet dan telefon pintar untuk kemudahan pembelian pelan takafulnya secara serta-merta menerusi pengenalan Plug n Pay dalam segmen mobiliti PruBSN.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Azim Mithani berkata, sejak dilancarkan pada 2013, mobiliti PruBSN menghasilkan lebih 48,000 pendaftaran dan ia dijangka meningkat dengan penggunaan peranti Plug n Pay.

Katanya, penggunaan platform digital juga memastikan tawaran takaful PruBSN kekal relevan kepada pelanggan dan memberi peluang kepada orang ramai memperoleh produk perlindungan dalam masa beberapa minit.

“Kami mahu pelanggan memperoleh pengalaman yang terbaik terutama ketika membeli pelan perlindungan PruBSN dan ini satu pencapaian yang membanggakan bagi syarikat menjalin usaha sama dengan CIMB Bank bagi mempercepatkan proses perlindungan takaful.

“Kami mahu mengekalkan PruBSN sebagai jenama yang kukuh dalam industri insurans dan melindungi lebih ramai warga Malaysia,” katanya pada taklimat media selepas pelancaran Plug n Pay mobiliti PruBSN dengan kerjasama CIMB Bank di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Perbankan Borong CIMB, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Perbankan Pengguna Serantau CIMB Group, Renzo Christopher Viegas.

Azim berkata, perkhidmatan baru itu memudahkan orang ramai untuk membuat pembayaran dan aplikasi mobiliti PruBSN akan berkembang dengan perkhidmatan Plug n Pay CIMB Bank.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 8:20 AM