ORANG ramai dan wartawan berada di lokasi kejadian. FOTO Farhan Najib
Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Tiga penjenayah ditembak mati oleh polis dan dua senjata dirampas dalam kejadian berbalas tembakan di Kampung Simee, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, ketiga-tiga penjenayah terbabit ditembak mati oleh pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Perak bersama Pasukan Petugas Khas dan Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun Twitternya mengesahkan kejayaan itu.

Difahamkan kesemua penjenayah terbabit sangat berbahaya dan dikehendaki membabitkan kes samun dan rompakan di sekitar bandar raya ini dan beberapa kawasan lain.

Menurut sumber, ketika pasukan polis cuba menghampiri kenderaan dinaiki ketiga-tiga lelaki berkenaan, mereka cuba melarikan diri dengan memecut laju kereta sebelum dikejar polis.

"Berlaku situasi berbalas tembakan dan akhirnya ketiga-tiga penjenayah terbabit ditembak mati dan dua senjata api dirampas.

"Pasukan polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian ketika ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh dijangka akan mengadakan sidang media berhubung kejayaan ini, 9 pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 5:57 PM