Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek menafikan sekeras-kerasnya tomahan dilemparkan ke atas dirinya menerusi Facebook (FB) dan WhatsApp oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, fitnah disebarkan itu menyatakan peranan dan fungsi kerajaan dalam isu kenaikan harga minyak serta mengenai perletakkan jawatannya sekiranya gagal mengawal kenaikan harga minyak yang akan diumumkan malam ini.

"Satu akaun FB palsu telah diwujudkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan nama dan gambar saya.

"Dalam FB itu dinyatakan kononnya saya akan meletakkan jawatan dengan rela hati sebagai menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sekiranya harga minyak yang bakal diumumkan malam ini akan dinaikkan.

"Sejujurnya, ini adalah satu fitnah dan saya selaku menteri terbabit menafikan segala tuduhan ini," katanya ketika ditemui media di Majlis Penyampaian Sumbangan Khas Ahli Parlimen Kuala Pilah di Dewan Datuk Bahaman, tadi.

Hasan berkata, perkara itu disedari pegawai khasnya, Muhammad Razlan Ismail pada 7 pagi tadi ketika berada di pejabat KPDNKK dan disifatkan ingin memburukkan nama dan kredibiliti beliau sebagai menteri.

"Saya juga mempunyai bukti mencukupi untuk menyatakan bahawa ini adalah satu unsur jahat yang boleh diibaratkan ingin menconteng arang di muka saya,” katanya.

Justeru, menurut Hasan, bagi menangkis tomahan dan fitnah jahat itu beliau membuat satu laporan polis di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, 10.25 pagi melalui pegawai khasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 3:42 PM