PESERTA melakukan pemasangan tiub.
ABDUL Nasir menunjukkan cara memasukkan cocopeat ke dalam polibeg.
PESERTA cuba memasang alatan.
POKOK cili secara fertigasi.
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Melihat sektor pertanian sebagai bidang keusahawanan yang menguntungkan antara pendekatan diambil Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE) Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada penghuni Rumah Amal Limpahan Kasih (RALK), Puchong.

Program dengan kerjasama KebunBandar.com dilaksanakan secara teori dan ‘hands-on’ untuk menarik minat penghuninya berkenaan kaedah pertanian secara fertigasi.

Penganjurannya nampak ringkas, namun impak program dapat dilihat dalam jangka panjang lebih-lebih lagi selepas penghuni meninggalkan rumah kebajikan itu kelak.

Sekurang-kurangnya ada ruang untuk mereka hidup berdikari sejurus melangkah keluar.

Program sehari bermula dari 8 pagi hingga 6 petang itu disertai kira-kira 50 penghuni asrama termasuk tenaga pengajar.

Pemantau projek keusahawanan, Mohamad Izham Mohd Alias, 26, berkata idea penganjuran projek berkenaan dicetuskan Pngarah CaRE UPM, Prof Latifah Abd Latif.

Asalnya ia adalah projek Knowledge Transfer Grant Scheme (KTGS).

“Pada awalnya pihak CaRE merancang untuk menjalankan Projek Asas Berkebun di Bandar dengan menjalankan pertanian secara konvensional.

“Namun hasil perbincangan dengan pengetua RALK, projek tanaman sistem fertigasi dipilih menggantikan teknik berkebun secara biasa,” katanya.

Sistem fertigasi ini memerlukan kos yang tinggi disamping alat-alat digunakan mudah hilang akibat dicuri.

“Oleh itu, kedua-dua pihak bersetuju supaya RALK membantu mendapatkan sumbangan ikhlas daripada pihak yang bermurah hati untuk membiayai projek pertanian ini.

“Melalui dana yang diperoleh, CaRE mengambil inisiatif menganjurkan projek komuniti antara UPM dan masyarakat membabitkan tiga fasa,” katanya.

Permulaannya, peserta didedahkan berkenaan teori berkaitan fertigasi, penyakit cili dan cara tanaman.

“Antara fokus diberikan adalah berkaitan amalan pertanian cili dan fertigasi.

“Projek berkenaan dipantau Penolong Pegawai Pertanian Jabatan Pertanian Ayer Hitam, Johor, Abdul Nasir Abd Tahir untuk tempoh enam bulan,” katanya.

Pengamatan dilakukan mendapati penghuni rumah itu sangat teruja mengikuti pengajaran secara ‘hands-on’.

“Apatah lagi mereka mempelajari satu teknik pertanian baru yang belum pernah dilaksanakan di rumah berkenaan.

“Malah tenaga pengajar melihat usaha itu sebagai pendekatan yang boleh membawa penghuni lebih jauh (terbabit dalam keusahawan),” katanya.

Sebagai permulaan katanya, penghuni yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu sehinggalah tingkatan lima dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Mereka kemudian dipertanggungjawabkan untuk menjaga setiap baris pokok cili.

“Ketika ini terdapat 200 pokok fertigasi yang lengkap dengan sistem pengairan.

“Setiap minggu laporan diserahkan kepada penyelia projek untuk melihat kejayaannya,” kata­nya.

Pemantauan membabitkan seminggu sekali sebelum dijarakkan kepada dua minggu sekali dan akhirnya sebulan sekali.

“Jika projek pertama ini berjaya, ia menjadi contoh kepada penduduk setempat.

“Malah bilangan pokok juga dipertingkatkan daripada 200 kepada 1,000 pokok,” katanya.

Harga cili yang tinggi di pasaran memberi keuntungan kepada penghuni sekali gus digunakan untuk menjana aktiviti harian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 1:15 PM