Putrajaya: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan memberi impak yang besar kepada sektor perbankan dan kewangan.

Penolong Pengarah Kanan Kastam (Kewangan dan Perbankan) Rozila Saad berkata, cukai baru itu hanya dikenakan ke atas fi dalam setiap transaksi perbankan dan bukan pada jumlah urus niaga.

Katanya kebanyakan bank dan syarikat kewangan sudah bersedia untuk melaksanakan GST.

“Impak terhadap sektor ini agak rendah sebab kebanyakan aktiviti yang dilakukan (dalam sektor perbankan dan kewangan) dikecualikan (GST) kecuali aktiviti berasaskan fi saja,” katanya pada taklimat media menjelang pelaksanaan GST pada Rabu ini, di sini semalam.

Beliau berkata sebanyak 12 aktiviti di bawah sektor perbankan dan kewangan terkecuali daripada pelaksanaan GST termasuk operasi akaun dan pinjaman.

Bagaimanapun, katanya urusan transaksi antara bank akan dikenakan GST.

“Yuran transaksi tertakluk kepada bank tetapi GST akan dikenakan. Kalau bukan bank yang berpangkalan di Malaysia, cajnya lebih tinggi. GST akan dikenakan ke atas caj transaksi, bukan pada amaun,” katanya.

Rozila berkata pelaburan, pegangan ke atas bon atau instrumen kewangan turut dikecualikan daripada GST manakala perkhidmatan MEPS, GST hanya akan dikenakan ke atas caj transaksi.

Katanya transaksi kad kredit dan kad debit juga tidak akan dikenakan GST kecuali yuran tahunan kad kredit yang akan dikenakan cukai baru tersebut.

Beliau berkata insurans nyawa dikecualikan daripada GST manakala insurans am akan dikenakan cukai tersebut.

Menurutnya, GST tidak akan dikenakan ke atas cukai jalan.

“Apa-apa perbekalan yang dibuat oleh kerajaan negeri atau Kerajaan Persekutuan memang tiada GST,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 7:45 AM