Produk berasaskan cloud jenama Sharp boleh dibeli di cawangan Senheng dengan pelan pembayaran mudah.

Kuala Lumpur: Senheng Electric (KL) Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan Sharp-Roxy Sales & Service Company (M) Sdn Bhd bagi menawarkan Sistem Keselamatan Rumah Pintar Berasaskan Cloud Sharp dengan pelan pembayaran ansuran selama 36 bulan.

Senheng dalam kenyataannya berkata, sistem keselamatan itu menawarkan ciri mudah dipasang, boleh dikembangkan sepenuhnya dan menggabungkan fungsi penggera, pemantauan dan pengawasan pada harga berpatutan.

Katanya, dengan ciri terbabit, orang ramai pasti mampu memiliki sistem keselamatan itu bagi memerangi jenayah dan Sharp Cloud SmartHome Security System berbeza dengan sistem keselamatan tradisional yang memerlukan pemasangan profesional dan kontrak perkhidmatan bulanan.

“Ianya begitu mudah dipasang, hanya perlu masukkan plug, mengaktifkannya dan ia sedia beroperasi, tanpa perlu membayar yuran perkhidmatan bulanan.

“Pengguna akan mendapat akses penuh kepada sistem itu pada bila-bila masa dan di mana jua, selagi mereka mempunyai sambungan Internet melalui aplikasi mesra pengguna pada peranti pintar,” katanya.

Menurutnya, sistem itu juga menjangkau lebih daripada perlindungan rumah dan hartanah serta berguna untuk membantu ibu bapa yang sentiasa sibuk bagi memantau orang tua dan kanak-kanak di rumah.

Sistem ini boleh diakses beberapa ahli keluarga atau pengguna yang diberi kuasa sehingga lima orang pengguna, pemantauan pelbagai lokasi, makluman kejadian melalui e-mel dan mesej teks secara serentak 24 jam sehari dan 7 hari seminggu, serta fungsi mengaktifkan atau mematikan penggera dari jarak jauh.

Sistem keselamatan ini didatangkan dengan kit permulaan yang dijual pada harga RM2499 terdiri daripada 1 unit OPU (Unit Pemprosesan Awan) iaitu nadi sistem ini, dua unit kamera IP inframerah berdefinisi tinggi, 2 unit sensor pintu dan tingkap, 1 unit alat kawalan jauh dan 1 unit USB 16GB.

Bermula dari sekarang hingga Mei, ahli PlusOne juga layak mendapat insurans Home Care (nilai insurans sehingga RM15,000) secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 7:43 AM