TIMBALAN Presiden PAS, Mohamad Sabu (kiri); Abdul Hadi (dua kiri); Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (dua kanan) dan Penolong Setiausaha Agung PAS 1, Datuk Takiyuddin Hassan pada sidang media selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Khas.
Oleh Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Marang, Terengganu yang juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965 akan dibacakan di Parlimen sebelum sidang berakhir 9 April ini.

Abdul Hadi berkata, ia dibentangkan untuk meningkatkan lagi bidang kuasa mahkamah syariah di seluruh negara.

Menurut beliau, beberapa undang-undang di dalam akta berkenaan diusulkan untuk dipinda seperti hukuman rotan di mana ketika ini, hukuman rotan lebih kepada menyeksa dan bukannya menghukum.

Abdul Hadi berkata, pihaknya berharap usul pindaan itu akan disokong oleh ahli Parlimen beragama Islam untuk diberi laluan dan pada masa sama, beliau berharap ahli Parlimen bukan Islam juga memberi laluan untuk usul berkenaan dibentangkan.

Kata Abdul Hadi, undang-undang syariah adalah hak orang Islam dan Islam juga adalah agama rasmi Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan manakala penganut agama lain diberi kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing.

Abdul Hadi berkata demikian selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Khas PAS di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 6:17 PM