ANGGOTA polis bersama sepasukan bomba menjalankan operasi mencari mangsa yang dipercayai dibaham buaya di Sungai Kinabatangan. FOTO ihsan Polis
Oleh Norasikin Daineh

Kinabatangan: Lelaki hilang dipercayai dibaham buaya ketika memancing bersama tiga rakannya di Sungai Kinabatangan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak berkata, pihaknya menerima laporan pada 6.30 petang semalam daripada orang awam bahawa seorang lelaki hilang di sungai terbabit ketika memancing.

"Menurut maklumat, pada 2 petang, mangsa bersama tiga rakannya keluar memancing di sungai yang berhampiran dengan sebuah ladang.

"Kira-kira 4 petang kemudian, mangsa turun ke tebing sungai untuk mencuci muka namun tiba-tiba hilang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut rakan mangsa, ketika kejadian kelihatan air sungai berkocak dan mereka turut melihat kelibat ekor buaya.

"Mangsa disyaki dibaham buaya dan operasi mencari mangsa segera dilakukan sehingga ke hari ini dengan bantuan pihak bomba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 3:14 PM