PERASMIAN Ekspo Perniagaan Francais Korea Kali Ke-33.

Kuala Lumpur: Penyertaan usahawan francais Malaysia ke ekspo perdagangan terbesar di Korea Selatan dan antara yang terbesar di Asia adalah platform terbaik untuk memperkenalkan model perniagaan masing-masing termasuk meneroka peluang perniagaan khususnya ke negara berkenaan.

Perbadanan Nasional Berhad (PNS) berkata, EXPO Perniagaan Francais Korea 2015 kali ke-33 itu memberi pendedahan yang luas dan lebih mendalam kepada delegasi mengenai perkembangan industri francais Korea yang sedang pesat membangun.

Misi perdagangan antarabangsa ke Seoul yang berlangsung dari 19 hingga 21 Mac 2015 lalu itu diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad.

Selain PNS, program yang dianjurkan oleh Persatuan Francais Malaysia (MFA) itu turut disertai empat usahawan francais tempatan antaranya Manhattan Fish Market, Global Art, Q-Dees dan Brain Checker yang diadakan di Pusat Pameran Perdagangan dan Konvensyen Seoul.

Sepanjang misi berlangsung, semua peserta dibawa melawat beberapa cawangan francais milik usahawan Korea Selatan seperti Caffe’ Bene dan Naughty Cat’s bagi meneroka kaedah perniagaan baru di kalangan usahawan negara berkenaan agar setiap ilmu perniagaan dipelajari dapat dipraktikkan untuk memajukan lagi sektor francais Malaysia.

Terdahulu, Alias serta Duta Besar Malaysia ke Korea, Datuk Rohana Ramli turut bersama-sama tetamu menghadiri majlis perasmian program EXPO Perniagaan Francais Korea.

Sementara itu, Caffe’ Bene yang mempunyai enam cawangan di Malaysia dan Naughty Cats’ sedang merangka pelan untuk membuka serta meluaskan perniagaan dengan mendaftar sebagai perniagaan francais di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 7:18 AM