Oleh Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Sejak mula dikenali melalui lagu Sayang, penyanyi seberang, Shae, 22, sering berkunjung ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan lagunya.

Terbaru, kedatangan Shae ke Kuala Lumpur untuk promosi lagu Rindu baru-baru ini, sangat istimewa apabila berpeluang melihat Pesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2015.

Shae ditemani kumpulan Nukilan dianggotai Kirana, Agenda dan Kelana untuk melihat kemeriahan pesta yang berlangsung di Monumen Alaf Baru Presint 2, Putrajaya pada hari terakhir, 15 Mac lalu.

Mereka akui teruja apabila dimaklumkan fotografi diatur syarikat rakaman Warner Music bersama SELEBRITI Metro Ahad diadakan di tapak Pesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2015 di Putrajaya.

Bagi Shae, ia pengalaman menarik kerana seumur hidupnya belum pernah menaiki belon udara panas.

“Sejak dulu lagi saya selalu ingin cuba naik. Tambah pula selepas menonton filem animasi Up, kisah kanak-kanak terbang ke udara dengan belon. Ia seperti dibawa mimpi ke satu destinasi yang penuh misteri,” katanya sambil ketawa.

Menyukai aksi lasak seperti menunggang motosikal berkuasa tinggi, Shae juga ingin mencuba ‘sky jump’. Bagaimanapun, Shae yang tidak takut pada ketinggian mengakui tidak berani mencuba terjunan bungee.

Katanya, kalau cedera atau mati kerana bungee lebih terseksa berbanding ‘sky jump’.

Kirana dan Agenda juga kelihatan teruja manakala Kelana sebaliknya. Kelana atau Ahmad Aliff Afif, 29, berkata, pengalaman menaiki kapal terbang dan berdepan insiden ‘air pocket’ yang menyebabkan kapal terbang dinaiki turun mendadak beberapa ratus kaki membuatkan dia trauma.

“Peristiwa itu meninggalkan kesan pada saya sampai sekarang. Sebab itu apabila aktiviti membabitkan ketinggian, saya akan elak. Begitu juga apabila terpaksa ke lokasi luar negera, seboleh-bolehnya saya elak menaiki kapal terbang kecuali terpaksa.

“Menaiki belon udara panas memang nampak menarik tapi tiada jaket keselamatan dibekalkan kalau berlaku perkara tidak diingini,” katanya yang risau menaiki belon udara panas.

Apabila dimaklumkan aktiviti itu tidak dapat dilakukan kerana faktor angin kencang, Shae kelihatan kecewa berbanding Kelana yang jelas menarik nafas lega.

Walaupun tidak berpeluang secara langsung menaiki belon udara panas, Shae dan Nukilan tetap gembira kerana dapat berada di sekitar lapangan belon udara panas.

Mereka juga diberi peluang melihat persiapan kapten belon udara panas serta kru membuat persediaan untuk terbang pada sebelah petang.

Sepanjang empat hari penganjuran Pesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2015, lebih 20 belon udara panas dari 11 negara memenuhi ruang udara Putrajaya.

Fiesta tahunan ketujuh ini disertai Amerika Syarikat, Korea, Perancis, Belanda, Belgium, Australia, Thailand, Sepanyol, Filipina dan tuan rumah Malaysia.

Bagi kumpulan Nukilan, pertemuan dengan Malique adalah pencetus penubuhan mereka pada 16 Januari lalu. Mereka juga bukan orang baru kerana Kirana dan Kelana pernah menganggotai kumpulan The Fabulous Cats.

Kata Kirana, pembaharuan ini perlu untuk menjenamakan semula diri mereka kepada peminat sedia ada.

“Saya tidak mahu dibayangi penampilan lama. Tidak dinafikan akan mengambil masa, tetapi saya cuba melakukan sesuatu untuk lebih segar.

“Dalam single Rindu, saya perlu menyanyi secara rap dan ia sesuatu yang baru buat saya,” kata Kirana yang turut dikenali sebagai Zizi Kirana dalam kalangan peminat.

Kelana pula berkata, Nukilan adalah kumpulan hip hop tapi mempunyai keunikan berbeza yakni mempunyai saduran muzik serta elemen nusantara pada setiap lagu.

Pada masa ini, Nukilan dalam proses menyiapkan album pertama dan bakal muncul dengan single berentak muzik Jawa berjudul Aduh Neng.

Shae mahu keseimbangan

Biarpun sibuk dengan promosi lagu Aku Suka Kamu dan Rindu serta penggambaran filem seram di Indonesia, Shae kini bahagia kerana mampu mencuri masa menikmati kehidupan peribadi sendiri.

Shae akui mula keluar bersama teman lelaki dan kembali menunggang motosikal berkuasa tinggi. Malah, dia baru memiliki rumah sendiri serta kereta untuk kegunaannya di Jakarta.

Katanya, kini tanggungjawabnya lebih besar kerana ada rumah dan kenderaan sendiri. Jelas Shae, dia boleh saja tinggal bersama keluarga tetapi yakin tiba masanya untuk cuba hidup berdikari.

Apatah lagi dia mempunyai pendapatan sendiri dan mahu memikul tanggungjawab dan pada masa sama hidup bebas.

“Sejak mula berdikari, saya banyak berubah. Namun dalam perubahan itu, saya perlu bahagikan masa dan kenal pasti perkara penting dalam hidup.

“Kadangkala apabila terlalu sibuk, kita lupa perkara paling penting iaitu mendapat rehat yang cukup. Dari dulu apabila ceburi bidang ini, bukan populariti yang saya cari tapi kepuasan untuk meng­gembirakan orang lain.

“Sebab itu pada tahun ini, saya mahu seimbangkan peribadi dan kerjaya supaya lebih adil. Namun saat berada di pentas adalah waktu terbaik saya sebab mahu bahagiakan orang. Andai orang lain tidak bahagia, saya juga tidak bahagia, begitulah sebaliknya,” katanya.

Terbaru, Shae atau Sheryl Gething berkunjung ke Kuala Lumpur untuk promosi lagu Rindu ciptaan Malique. Kali ini Shae berkolaborasi dengan kumpulan Nukilan dianggotai Kirana (Zizie), Kelana (Aliff) dan Agenda (Lukmanulhakim).

Jika sebelum ini Shae pernah berduet bersama Ella untuk lagu Sayang dan terbaru bersama kumpulan Nukilan untuk lagu Rindu, Shae masih menyimpan impian berduet bersama Hafiz Suip.

Impian yang dipahat sejak dua tahun lalu itu belum terlaksana kerana masa yang terbatas antara mereka berdua.

“Kalau diizinkan, saya mahu menyanyikan lagu berentak EDM (muzik tari elektronik) pula kerana ia membuatkan pendengar gembira dan ingin menari bersama,” katanya ringkas mengenai perancangannya selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:16 AM