Selamat ulang tahun kepada akhbar Harian Metro yang melangkah usia 24 tahun pada 25 Mac lalu. Pelbagai susah senang, suka duka, dugaan dan rintangan ditempuh sepanjang tempoh itu hingga kini terus bertahan menjadi akhbar nombor satu.

Ketika diterima menjadi keluarga akhbar ini 22 tahun lalu, saya wartawan baru yang tiada pengalaman tetapi bersemangat tinggi menyahut cabaran menceburi dunia kewartawanan selepas tamat pengajian di Universiti Malaya.

Kini perjuangan wartawan Harian Metro diteruskan generasi baru yang tentunya lebih bersemangat, manakala wartawan lama yang masih setia dengan akhbar ini kini bergelar editor dan jawatan atasan lainnya de­ngan tanggungjawab berbeza.

Suasana menjadi wartawan zaman ini rasanya tidak sama dengan dulu. Dulu kemudahan teknologi tidak secanggih sekarang tetapi kerjaya wartawan kini jauh lebih mencabar dengan adanya media sosial yang membolehkan mereka mendahului akhbar untuk menyalurkan berita terkini.

Artis juga ada laman sosial sendiri untuk berkongsi berita terbaru mereka dengan peminat.

Walaupun kini jarang turun padang ke majlis sidang media, sering juga mendengar luahan wartawan muda mengenai gelagat dan kerenah artis sekarang.

Dulu, hubungan artis dan wartawan sangat rapat dan mesra kerana masing-masing sedar saling memerlukan antara satu sama lain.

Namun kini mungkin ada artis menganggap mereka tidak perlukan wartawan, sebaliknya wartawan mengejar mereka untuk mendapatkan berita.

Ada wartawan muda berkongsi cerita mengenai artis popular merungut apabila hadir untuk sesi fotografi kerana disifatkan buang masanya saja apabila dimaklumkan ceritanya untuk ruangan dalam dan bukan muka depan.

Itu belum lagi lagak artis marah-marah apabila ceritanya keluar akhbar. Kalau meng­hubungi editor atau wartawan yang menulis untuk meluahkan rasa tidak puas hati tidak apalah, boleh dijelaskan. Mungkin apa yang dibacanya dengan apa yang ingin disampaikan berbeza hingga timbul rasa tidak puas hati.

Saya pernah lalui sebelum ini tapi bukan daripada artis itu, sebaliknya bapa artis yang menghubungi saya meluahkan rasa tidak puas hati dengan tulisan saya dalam ruangan ini mengenai anaknya. Siap maklumkan yang dia kenal ramai orang di tempat saya bekerja.

Ada yang siap ugut mahu ambil tindakan mahkamah dan ada juga terus melantik peguam tanpa berbincang atau berhubung dengan editor atau penulisnya terlebih dulu.

Artis perangai begini tidak ke mana. Contohilah artis terkenal dan bertahan lama seperti Datuk Siti Nurhaliza. Macam-macam gosip disiarkan mengenai dirinya tetapi tidak pernah sampai mahu mengambil tindakan mahkamah, tetapi memilih pendekatan berhemah dengan berbincang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:16 AM