Oleh Ustaz Haslin Baharin

Saya seorang isteri dan mempunyai anak. Suami sentiasa sibuk dengan urusan kerja hingga tiada masa dengan keluarga. Kekosongan itu memberi ruang kepada saya untuk berhubungan dengan lelaki lain yang juga suami rakan baik saya.

Hubungan itu menyebabkan kami terlanjur. Kemudian, saya tersedar dosa yang saya lakukan dan ingin bertaubat. Adakah saya perlu memohon ampun dan maaf daripada suami saya dan juga rakan baik saya?

MIRA, Cheras, Kuala Lumpur

Suami yang sibuk bukan alasan untuk isteri melakukan sesuatu maksiat. Tidak sepatutnya suami yang bertanggungjawab sibuk kerja mencari nafkah untuk keluarga dibalas dengan pengkhianatan isteri terhadap suami.

Pintu taubat sentiasa terbuka untuk mereka yang ingin bertaubat. Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada siang hari, dan Allah membentangkan tangan-Nya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada malam hari, sampai matahari terbit dari barat.” (Hadis riwayat Muslim).

Puan sepatutnya mendekatkan diri dengan Allah dan melaksanakan tanggungjawab menguruskan rumah tangga dengan baik dan amanah. Peluang berjauhan dengan suami boleh digunakan untuk belajar agama dengan lebih mendalam.

Buatlah taubat nasuha, iaitu taubat yang benar-benar dengan syaratnya dipenuhi. Dari segi memberitahu suami dan memohon maaf, ini bergantung kepada keadaan dan kekuatan puan. Banyak perkara perlu dipertimbangkan dalam permasalahan ini.

Tidak boleh berhukum atau diselesaikan dengan cara dalam media massa seperti ini. Dapatkan bantuan dan khidmat nasihat di pejabat agama supaya tindakan lebih bertanggungjawab dan tidak menzalimi pihak lain. Wallahualam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 2:13 AM