ANGGUN jubah ditambah perincian sekuin pada tangan.
PADANAN menawan sesuai digayakan ke mana saja.
GAUN kardigan memberikan gaya anggun dan moden kepada si pemakai.
TAMPIL segar dengan jubah bintik polka.
Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Kesukaran mendapatkan pakaian Muslimah mengikut syariat Islam sekitar 2012 mendorong pemilik dan pengasas Salsabeela Muslimah Attire, Fatimawati Abdul Hamid menghasilkan baju sendiri. Bermula dengan rekaan blaus dengan menitik beratkan ciri menutup aurat, labuh, longgar dan tidak jarang membuatkan ramai dalam kalangan keluarga dan rakan bertanya dari mana dia mendapatkannya.

“Ketika itu memang sukar mendapatkan busana Muslimah yang dihasilkan orang Islam sendiri. Yang banyak, rekaan orang bukan Islam yang tidak kena dengan cita rasa saya. Akhirnya saya mengeluarkan rekaan sendiri dan kemudiannya dipasarkan menerusi media sosial Facebook,” katanya memulakan bicara.

Tidak sangka rekaan yang dihasilkan mendapat sambutan luar biasa sehingga mampu mencatat jualan RM200,000 sebulan. Oleh kerana ingin menempatkan koleksi pakaian yang sebelum ini diletakkan di rumah, Fatimawati menyewa sebuah kedai di Subang Jaya bertujuan mempamerkan busana kepada pelanggan. Daripada situ sedikit demi sedikit dia menambah rekaan sehingga mampu membuka butik di Wangsa Melawati pada November tahun lalu.

Menurut Fatimawati, selain menekankan kualiti dalam pemilihan fabrik, dia sangat menitikberatkan potongan dan rekaan busana. Pakaian yang dihasilkan harus mengikut syariat Islam sebenar. Malah suami menjadi pengkritik pertama selepas busana melalui beberapa fasa ‘pemeriksaan’ sebelum ia dipasarkan.

“Pemilihan fabrik sangat penting. Sebab itu saya menggunakan lycra berat dan tebal agar susuk tubuh si pemakai terpelihara. Teknik potongan kain juga memainkan peranan. Untuk lycra saya menggunakan kain yang banyak supaya sesuai dipakai semua golongan. Potongan longgar dan labuh antara ciri yang diketengahkan,” katanya.

Bermula dengan blaus labuh Salsabeela kemudian menambah koleksi Muslimah kepada jubah, abaya, gaun kardigan, skirt, palazo, selendang, tudung segera dan bersengkuap bagi memenuhi permintaan pelanggan. Untuk jubah dia setia dengan lycra disebabkan kainnya yang jatuh serta terletak cantik pada badan si pemakai. Namun fabrik lain juga turut disediakan antaranya jubah satin suram, denim lembut dan krepe.

Selesa dengan gaya sederhana dan tidak terlalu sarat Fatimawati yakin wanita sekarang lebih mementingkan keselesaan dalam penggayaan. Sebab itu kebanyakan rekaan mengambil kira ciri disukai pelanggan. Apa yang dilakukan hanya menambah perincian seperti sekuin pada bahagian tangan untuk jubah atau kemasan renda dan reben bagi memberikan nilai feminin.

“Kebanyakan busana adalah berdasarkan cita rasa sendiri. Saya inginkan wanita tampil bergaya pada masa sama menjaga aurat mereka. Anggun dan menawan dalam apa juga acara,” katanya yang menyasarkan jualan kepada wanita pertengahan usia. Pun begitu, ia juga manis digayakan golongan muda berusia 25 tahun ke atas.

Bagi memastikan pelanggan mempunyai pelbagai pilihan dalam penggayaan, setiap bulan dia akan mengeluarkan rekaan baru. Ini termasuk jubah, gaun, blaus atau skirt dan palazo yang ditawarkan pada harga RM249 ke bawah. Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman sosial Facebook salsabeelamuslimahattire atau Instagram salsabeelamuslimahattire.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:14 AM