PENDUDUK di Taiz, bandar ketiga terbesar di Yaman, menjulang poster Raja Arab Saudi, Salman, ketika menunjuk perasaan menyokong serangan yang diketuai Riyadh, semalam.

Sanaa:

Sekurang-kurangnya 39 orang awam terbunuh selepas lebih 24 jam serangan udara Arab Saudi dilancarkan terhadap pemberontak Syiah di Yaman.

Kementerian Kesihatan Yaman yang dikuasai pemberontak Houthi berkata, 12 mangsa berkenaan terbunuh apabila serangan yang menyasarkan sebuah pangkalan tentera di utara terkena kawasan kediaman.

Saksi berkata, serangan itu menyasarkan pangkalan tentera Al-Samaa yang digunakan unit tentera dibawah perintah bekas panglimanya Ahmed Ali Salleh.

Ahmed ialah anak bekas presiden Ali Abdullah Saleh yang dituduh bersekutu dengan pemberontak Houthi menentang Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi.

Menjelang awal pagi semalam, tiga serangan udara disasarkan terhadap pekarangan istana di selatan Sanaa yang ditawan pemberontak bulan lalu.

Sebelum itu, serangan disasarkan terhadap satu lagi briged tentera yang setia kepada Ali di Marib, wilayah di timur Yaman.

Seorang pegawai tentera berkata, jet yang diketuai Arab Saudi turut mengebom depoh senjata kem tentera yang digunakan pasukan yang setia kepada bekas presiden itu.

Pegawai itu mendakwa puluhan orang terbunuh di kem berkenaan yang terletak di pinggir bandar di selatan Yaman.

Laporan itu tidak dapat disahkan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:13 AM