Jakarta : Sasterawan, penyair dan budayawan Sitok Sunarto - atau lebih dikenali dengan nama pena Sitok Srengenge - semalam mendesak supaya ujian DNA dibuat terhadap bayi dilahirkan wanita bergelar RS yang didakwa dirogolnya.

Peguam Sitok, Feryan H Nugroho berkata, ujian terhadap bayi perempuan yang dilahirkan pada 31 Januari lalu itu untuk melihat persamaan genetik - jika ada - demi masa depan bayi itu.

“Jika terbukti, Sitok sanggup menjaga anak itu,” katanya.

Kata Feryan, Sitok menuntut ujian DNA dilakukan selepas RS dilaporkan mahu menyerahkan bayi berkenaan kepada pihak ketiga.

Sitok didakwa merogol pelajar kolej itu sehingga menyebabkan remaja terbabit hamil.

Perkara itu dilaporkan kepada polis pada November tahun lalu.

Sitok dinamakan sebagai suspek pada 6 Oktober lalu dan polis memanggilnya untuk disoal siasat minggu lalu.

Sehubungan itu, dia menghadapi tiga tuduhan termasuk mencabul dan mengadakan hubungan seks luar nikah.

Awal tahun ini media melaporkan RS selamat melahirkan anaknya pada perayaan Tahun Baru Cina lalu.

RS dan bayinya dilaporkan sihat walaupun wanita itu dikatakan kurus disebabkan masih runsing dan trauma dengan keadaan yang menimpanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:03 AM