BERSAHAJA dan santai, Mark berjaya menggamatkan pentas.
MARK Adam hadir dengan album sulung selepas tiga tahun.
MARK Adam hadir dengan album sulung selepas tiga tahun.
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Selepas tiga tahun menanti, penyanyi kelahiran Filipina, Mark Adam lega apabila album sulungnya akhirnya dipasarkan.

Mula mencipta nama menerusi lagu Pencuri tidak lama dulu, peminatnya semakin ramai dan lagu genre santai yang dipertaruhkannya memang menjadi.

Bernaung di bawah label Mixology, usaha kerasnya jelas tidak pernah berhenti.

Album berjudul Mark Adam yang memuatkan 12 lagu itu dilancarkan di Laundry Bar, The Curve di ibu kota malam kelmarin. Dalam majlis yang sama, Mark turut mengadakan persembahan mendendang­kan beberapa lagu terbarunya.

Persembahan yang bermula jam 9 malam itu turut dihadiri lebih 200 peminatnya sekali gus membuktikan nama Mark semakin kukuh dalam kalangan peminat.

Ia turut dihadiri rakan artis seperti Johan, Alam Wakaka, Ray Era FM dan Erry Putra.

Sebagai penyanyi, pemuzik dan guru vokal, pentas bukanlah asing bagi Mark. Dalam persembahannya itu, dia tampak selesa, bersahaja dan selamba membuat lawak sekali gus menyerlahkan aura penghiburnya.

Mark ketika ditemui berkata, dia sebenarnya tak sangka dapat diterima peminat. Dia juga bersyukur kerana penerimaan peminat di negara disifatkan sangat luar biasa.

“Selepas tiga tahun menanti, saya benar-benar teruja untuk acara malam ini (kelmarin) kerana ia menjadi titik bersejarah buat karier seni saya. Jujur saya tidak menyangka diterima peminat tempatan.

“Tiada apa mampu saya ucapkan selain jutaan terima kasih buat peminat Malaysia yang membawa saya sampai ke tahap ini. Album dan persembahan malam ini (kelmarin) saya dedikasikan kepada mereka sebagai tanda terima kasih,” katanya.

Mengulas mengenai album sulungnya, Mark berkata, ia sesuatu yang cukup peribadi dan itulah keistimewaan produk sulungnya itu.

“Semua lagu dalam album itu cukup bermakna kerana mengisahkan perjalanan hidup saya selama ini. Walaupun cukup ringkas dan santai, namun pengertiannya mendalam bagi saya.

“Terdapat dua lagu balada yang tidak pernah diperdengarkan lagi,” katanya.

Menyifatkan lagu Pencuri dan Marry Me adalah lagu yang sangat disukainya, dia turut berkongsi perancangannya andai ada rezeki menghasilkan album kedua pula kelak.

“Saya sudah cukup dikenali dengan lagu-lagu santai dan ia satu perkara yang sangat menyenangkan. Jika ada persepsi bahawa saya hanya terhad kepada lagu santai, saya tidak kisah pun.

“Bagaimanapun, saya harus katakan ia satu permulaan di mana saya juga sebenarnya sukakan lagu balada. Kerana itulah, kalau ada rezeki menghasilkan album seterusnya nanti, saya akan pastikan untuk memberi lebih lagi sisi kemampuan saya dalam muzik,” katanya.

Pada malam itu, Mark tidak ketinggalan menampilkan beberapa penyanyi jemputan termasuklah Vince Chong, Qierra, Eyza Bahra, W.A.R.I.S dan Eleena Haris.

Meskipun dalam suasana yang sangat intim, persembahannya malam itu jelas menggamatkan suasana dan dia sendiri tidak kekok turun me­nyapa penonton di bawah pentas.

Mark juga gembira apabila dapat menjemput rakan-rakan penyanyi lain di mana pemilihan mereka adalah atas persetujuannya dengan pihak pengurusan.

“Kebanyakan mereka yang saya jemput adalah penyanyi rakan kolaborasi menerusi beberapa lagu saya. Bagaimanapun, saya menjemput Vince kerana dia adalah antara penyanyi kegemaran saya sejak dulu lagi,” katanya.

Pada malam itu, Mark menyanyikan rangkaian lagu popular serta yang dimuatkan dalam albumnya termasuk Pencuri, Si Katak, Marry Me, Jika dan turut bergandingan dengan W.A.R.I.S menerusi lagu Sampai Bila serta lagu Senyum Lagi bersama Qierra.

Tidak mahu peminatnya pulang dengan tangan kosong, dia turut memberikan hadiah menarik seperti ‘headphone’, kasut, kemeja-T dan albumnya kepada penonton yang hadir menerusi segmen cabutan bertuah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 1:14 PM