Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


Georgetown: Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman merampas sepucuk pistol serta peluru dalam serbuan di tingkat 14 flat di Jalan Prai Jaya, dekat sini, malam tadi.

Serbuan terbabit dilakukan 10 malam dan polis turut menahan seorang lelaki lingkungan 20-an bagi membantu siasatan berhubung penemuan senjata api terbabit.

Dalam serbuan itu, polis merampas pistol jenis CZ Compact serta 39 peluru yang disembunyikan dalam stor di rumah lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash berkata, rampasan pistol berkenaan dilakukan selepas polis menahan beberapa suspek berhubung kes tembak mati seorang lelaki di Jalan Scotland, Georgetown awal bulan ini.

"Kita percaya suspek yang ditahan malam tadi turut mempunyai kaitan dengan kejadian tembak di Jalan Scotland itu namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 11:53 AM