BUKU kewangan untuk si kecil boleh dijadikan panduan ibu bapa dalam mendidik anak-anak soal kewangan.
KIT Bijak Wang :Anak Bijak Cerdik Duit yang dihasilkan Dr Mohamad Fazli bersama Nurhayatul Nira Ramli membantu ibu bapa mendidik anak-anak.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


Kepentingan ilmu kewangan dalam kalangan anak-anak kecil tidak harus dipandang sepi, sebaliknya ia perlu diterapkan seawal usia prasekolah supaya golongan cilik membesar menjadi individu yang bijak wang, sekali gus mampu menguruskan kehidupan mereka dengan baik.

Malah, pendidikan kewangan perlu diberikan seawal usia prasekolah iaitu bermula empat tahun supaya menyimpan dan menguruskan wang secara bijak menjadi tabiat sepanjang hayat.

Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, pendidikan kewangan perlu diterapkan kerana ia boleh memupuk rasa tanggungjawab dalam diri kanak-kanak.

Bagaimanapun, ia perlu dilakukan dengan cara yang menyeronokkan atau secara tidak formal untuk memudahkan mereka memahami dan menerimanya dengan baik.

“Kadangkala kita rasa anak kita terlalu kecil untuk memahaminya, tetapi ia sebenarnya bukan begitu.

“Di barat, kita dapat melihat anak-anak sudah didedahkan dengan ilmu kewangan sejak kecil misalnya mereka menjual air atau makanan untuk mengumpul wang.

“Didikan kepada anak-anak kecil perlu dilakukan secara menyeronokkan. Mereka akan faham terutama apabila menjelang usia prasekolah, anak-anak sudah tahu wang adalah tukaran untuk mendapat–kan sesuatu,” katanya.

Konsisten

Tidak dinafikan ramai ibu bapa mempunyai kesedaran membuka akaun anak-anak, tetapi malangnya tidak menyemai tabiat menyimpan sedangkan ia perlu dilakukan secara konsisten tanpa perlu mengira jumlah wang yang dimasukkan dalam akaun.

Antara kaedah yang boleh digunakan ibu bapa dalam usaha menyuburkan tabiat menyimpan adalah menerangkan kepada anak-anak mengenai faedah menyimpan terutama ketika berhadapan saat kecemasan.

“Satu cara yang boleh membuatkan kanak-kanak seronok menyimpan adalah menggunakan tabung lut sinar supaya anak boleh melihat pertambahan wang.

“Ibu bapa juga digalakkan membawa anak-anak ke bank setiap kali hendak menyimpan wang mereka dan menunjukkan baki dalam buku akaun yang semakin bertambah.

“Lebih baik sekiranya menyimpan dalam akaun simpanan di bank yang menunjukkan pertambahan pada hujung bulan atau tahun ketika pemberian dividen. Jadi anak-anak lebih bersemangat kerana mereka tahu akan mendapat ganjaran jika rajin menyimpan,” katanya.

Satu lagi kaedah yang boleh dilakukan untuk menimbulkan minat menyimpan adalah ibu bapa menggandakan jumlah yang sudah disimpan oleh anak masing-masing untuk dimasukkan dalam akaun mengikut kemampuan dan keselesaan masing-masing.

Dr Mohamad Fazli berkata, kesilapan biasa yang dilakukan ibu bapa dalam mendidik ilmu kewangan adalah tidak bertanya anak-anak tujuan membelanjakan wang saku mereka setiap hari.

Ibu bapa perlu mengambil tahu dan memberi nasihat sekiranya wang banyak digunakan untuk perkara yang membazir misalnya anak membeli pensel terlalu banyak atau kelengkapan persekolahan lain yang tidak perlu.

Ini secara tidak langsung akan membantu anak-anak belajar menggunakan wang yang ada dengan berhemah serta dapat membezakan antara keperluan dan kehendak.

Anak-anak juga perlu didedahkan setiap sen perlu dihargai kerana bukan mudah untuk mendapatkan wang sehingga ibu bapa terpaksa bekerja keras untuk memberi kehidupan yang selesa kepada mereka.

Menurutnya, ilmu kewangan sangat penting dipupuk kerana ia memberi kesan secara langsung kepada kualiti kehidupan sepanjang hayat seseorang itu.

Muflis

Sikap suka berhutang dan mengambil mudah soal kewangan sehingga ada yang diisytihar muflis berpunca daripada kurang kesedaran mengenai tabiat menyimpan selain tidak tahu menguruskan wang dengan baik memandangkan ia tidak dipupuk dalam diri mereka.

“Masalah kewangan memberi kesan kepada setiap aspek kehidupan, malah ramai yang bercerai-berai kerana tidak tahu menguruskan wang dengan baik lalu menimbulkan konflik rumah tangga.

“Jika tidak tahu menguruskan wang, ia menimbulkan masalah emosi. Orang yang berbelanja sesuka hati, mereka akan sentiasa berasa resah gelisah pada hujung bulan. Mereka juga tidak sabar menunggu gaji bulan seterusnya kerana tidak mempunyai lebihan wang dalam simpanan terutama ketika berhadapan saat kecemasan.

“Mereka juga berhadapan dengan risiko sukar mendapatkan pinjaman penting, miskin pada usia persaraan, meminjam wang lintah darat, rumahtangga tidak bahagia kerana masalah nafkah dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) habis hanya dalam tempoh tiga ke lima tahun,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak juga belajar berdasarkan pemerhatian mereka. Oleh itu, dalam usaha memupuk kesedaran menyimpan wang, ibu bapa perlu terlebih dulu menjadi contoh terbaik.

Sikap membeli-belah secara boros misalnya boleh mempengaruhi anak-anak secara tidak langsung.

Transaksi

Dr Mohamad Fazli menasihatkan ibu bapa yang gemar membeli barang secara talian supaya tidak mendedahkan perkara itu kepada anak-anak mereka kerana ia kelihatan terlalu mudah dan transaksi wang tidak dapat dilihat secara fizikal.

Ibu bapa juga dinasihatkan membabitkan anak masing-masing setiap kali ingin berbincang mengenai hal kewangan keluarga supaya anak dapat belajar secara tidak langsung mengenai pengurusan wang yang baik.

Kanak-kanak juga perlu diajar menyimpan wang setiap kali ingin membeli sesuatu atau bercuti ke mana-mana bersama keluarga, bagi menyemai rasa tanggungjawab dalam diri mereka.

“Selain kaedah menyimpan, ibu bapa boleh mendidik anak untuk jadi lebih kreatif mengumpul wang dengan menggalakkan anak-anak menggunakan bakat yang ada pada diri mereka memasuki pertandingan yang biasanya akan menawarkan ganjaran duit atau menghasilkan kraf untuk dijual,” katanya.

Menurutnya, persediaan awal menyimpan wang amat penting kerana semakin lanjut usia, kos perubatan dan saat kecemasan perlu diambil kira. Bagi ibu bapa yang tidak memiliki ilmu kewangan, mereka dinasihatkan mendapatkannya sama ada dengan menyertai kursus, seminar atau banyak membaca buku kewangan.

Matang urus kewangan sendiri

Menurut ‘Kit Bijak Wang :Anak Bijak Cerdik Duit’ yang dihasilkan penyelidik daripada Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohamad Fazli Sabri dan Nurhayatul Nira Ramli, anak-anak perlu didedahkan dengan ilmu kewangan sejak usia prasekolah.

Antara lain, pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan mampu membantu anak-anak lebih berkeyakinan untuk menguruskan sumber kewangan yang diterima.

Berikut manfaat anak-anak yang dididik dengan pengetahuan asas oleh ibu bapa atau guru mengenai pengurusan kewangan:

- Menjadi lebih matang dalam membuat keputusan kerana dapat membezakan antara keperluan, kemahuan dan kehendak.

- Mampu menguruskan sumber kewangan sendiri dengan bijak terutama apabila mula berdikari di asrama, kolej atau universiti.

- Pendidikan kewangan adalah pembelajaran sepanjang hayat kepada setiap individu.

- Membentuk peribadi sebagai individu berhemah dan memiliki sifat terpuji seperti berjimat cermat dan tidak boros.

- Dapat membina keyakinan diri dan integriti apabila diberi tanggungjawab untuk memperoleh, membelanjakan, menyimpan dan berkongsi wang.

- Membantu dalam keputusan mengenai kewangan peribadi dan menghargai nilai wang.

- Anak dapat menilai wang bukan segala-galanya dalam kehidupan.

- Membantu anak-anak mencapai matlamat kewangan dalam jangka masa ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 1:14 PM