Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


Membesarkan anak bukan suatu perkara mudah terutama dalam soal membabitkan pembentukan jati diri, pemikiran positif serta amalan disiplin yang baik dalam kalangan anak-anak.

Semua ibu bapa sayang-kan zuriat mereka lebih daripada nyawa sendiri dan mahukan yang terbaik untuk anak masing-masing.

Mereka mahu anak membesar sebagai individu yang berkeyakinan tinggi, bijak menguruskan diri, cemerlang, mendapat pekerjaan yang menjanjikan pendapatan tinggi, bahagia dan memiliki sifat terpuji.

Namun adakalanya sifat memerintah dan terlalu mengongkong boleh membuatkan anak-anak memberontak.

Cara mendisiplinkan anak boleh memberi impak besar pada masa depan mereka serta menentukan bentuk hubungan antara ibu bapa dan anak mereka.

Namun begitu, ada kalangan ibu bapa tidak berada dalam empat kategori ini sebaliknya mereka berubah peranan mengikut situasi yang sesuai, kadangkala lebih autoritarian dan ada masanya mereka mengamalkan cara autoritatif.

Berikut disenaraikan empat gaya berbeza digunakan ibu bapa bagi mendisiplinkan anak-anak mereka:

Ibu bapa pemerintah (autoritarian)

Ibu bapa yang menggunakan pendekatan autoritarian selalunya menetapkan pelbagai peraturan dan mahu anak mereka mengikutnya tanpa banyak soal.

Mereka tidak mahu membuang masa menerangkan mengenai kesan sesuatu perbuatan. Anak-anak pula tidak didedahkan dengan kemahiran menyelesaikan sebarang persoalan atau cabaran, sebaliknya hanya perlu mengikut arahan.

Sekiranya anak-anak mempersoalkan peraturan yang ditetapkan atau bertanya mengenai sesuatu perbuatan yang dilarang, ibu bapa akan menjawab ‘kerana saya kata tidak boleh’.

Anak-anak tidak dibenarkan mempersoalkan keputusan yang sudah dibuat untuk mereka dan mereka tidak berpeluang berbincang atau ‘tawar-menawar’ bagi peraturan yang sudah ditetapkan.

Ibu bapa dalam kategori ini juga lebih gemar menghukum jika peraturan dilanggar berbanding memberi penerangan mengenai akibat sesuatu perbuatan itu.

Kesannya:

- Biarpun selalunya anak-anak mengikut setiap peraturan yang ditetapkan, mereka membesar sebagai individu yang memiliki keyakinan diri rendah.

Kadangkala anak-anak menjadi dingin dan agresif kerana mereka mempunyai perasaan marah yang dipendam sekian lama terhadap ibu bapa disebabkan hukuman yang dikenakan.

Ini kerana mereka tidak didedahkan dengan kemahiran menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul, membuatkan mereka kekurangan skil menguruskan emosi sendiri.

Ibu bapa pembimbing (autoritatif)

Ibu bapa dalam kategori ini juga menetapkan pelbagai peraturan untuk diikuti anak, tetapi mereka membuka peluang kepada anak masing-masing untuk berbincang mengenai peraturan itu.

Mereka sering menerangkan secara teliti mengenai sesuatu peraturan, tujuannya dan kesan sekiranya anak-anak tidak mengikut peraturan berkenaan.

Setiap peraturan yang ditetapkan turut mengambil kira perasaan anak-anak mereka. Ibu bapa autoritatif lebih gemar menggunakan pendekatan menerangkan akibat berbanding menghukum.

Mereka juga tidak keberatan memberi ganjaran serta pujian sewajarnya kepada anak-anak yang bersikap baik.

Kesannya:

- Anak-anak yang dididik ibu bapa autoritatif membesar sebagai individu yang ceria dan berjaya.

Mereka bijak membuat keputusan sendiri dan menimbangkan sesuatu risiko. Malah, mereka juga membesar sebagai individu bertanggungjawab dan tidak ada masalah meluahkan pandangan mereka.

Ibu bapa permisif

Ibu bapa di bawah kategori ini tidak membuat banyak peraturan untuk mendisiplinkan anak mereka.

Mereka lebih bersikap terbuka dan hanya me-ngambil tindakan sekira-nya berlaku masalah serius.

Hukuman tidak diberikan keutamaan kerana ibu bapa berasa anak-anak sememangnya bersikap ‘keanak-anakan’.

Ibu bapa jenis ini lebih berperanan sebagai rakan anak mereka berbanding bersikap seperti ibu bapa.

Mereka gemar jika anak meluahkan atau bercakap mengenai apa saja topik dengan mereka, tetapi tidak menegah kebanyakan sikap negatif atau membiarkan saja.

Kesannya:

- Kanak-kanak yang dididik ibu bapa kategori ini selalunya mempunyai masalah dalam bidang akademik kerana tiada tekanan daripada ibu bapa untuk berjaya.

Mereka juga mempu-nyai masalah dari segi sikap dan tidak gemar dengan peraturan. Selalu-nya kanak-kanak ini akan membesar sebagai individu yang memiliki keyakinan diri rendah dan sering berasa sedih kerana kurang motivasi.

Ibu bapa lepas tangan

Ibu bapa begini bersikap tidak mempedulikan atau memberi perhatian yang cukup terhadap anak-anak mereka kerana terlalu sibuk dengan kerjaya atau hal mereka sendiri.

Mereka selalu tidak ada ketika anak memerlukan, tidak mampu menjadi tempat anak bergantung dan membiarkan anak membesar sendirian secara berdikari.

Kadangkala perkara itu terjadi kemungkinan kerana masalah mental yang dihadapi ibu bapa, ibu bapa yang menagih dadah, kaki mabuk atau mereka terlalu ‘sesak kepala’ dengan masalah lain dalam kehidupan sehingga tidak mampu memberi perhatian kepada anak.

Ibu bapa dalam kategori ini juga kurang ilmu keibubapaan atau pengetahuan mengenai perkembangan anak-anak mereka.

Kesannya:

- Selalunya tiada peraturan ditetapkan dan anak-anak tidak mendapat bimbingan dan dorongan mencukupi untuk maju dalam akademik atau hidup.

Anak-anak menjadi kurang keyakinan diri dan tidak cemerlang di peringkat akademik. Mereka juga tidak berdisiplin, sering menimbulkan masalah sikap dan kurang gembira dalam hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 12:57 PM