Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@mediaprima.com.my


Tahun lalu, Xiaomi datang dengan Redmi 1S yang dijual pada harga RM419, namun tahun ini versi barunya dilancar dengan ciri lebih menarik.

Redmi 2 mula dijual dengan harga RM449 dan kali ini ia menyokong rangkaian 4G-LTE bukan satu, tetapi slot dwi SIM sedia aktif dengan rangkaian terbabit yang lebih memudahkan pengguna.

Dari aspek spesifikasi, Redmi 2 kini dikuasakan CPU Qualcomm 64 bit iaitu Snapdragon 410 quad core berkelajuan 1.2GHz dilengkapi RAM 1GB serta memori dalaman 8GB yang boleh ditambah dengan kad memori mikroSD sehingga 32GB.

Skrin Redmi 2 kekal 4.7 inci menggunakan paparan IPS dengan resolusi HD 1280 x 720 piksel seperti ditonjolkan Redmi 1s yang membawa kepadatan 312ppi.

Namun dari aspek penggunaan, baterinya kini 10 peratus lebih besar dengan kapasiti 2200mAh yang dilengkapi teknologi pengecasan pantas Quick Charge 1.0.

Sekali gus ia menjadikan peranti ini boleh dicas 20 peratus lebih pantas daripada biasa.

Kamera belakang Redmi 2 lengkap dengan sensor BSI beresolusi 8MP yang disediakan bersama fungsi HDR dengan apertur f/2.2.

Manakala kamera hadapan 2MP mempunyai fungsi ‘beautify’, menjadikan selfie yang diambil lebih cantik dari rupa sebenar.

Redmi 2 sedia datang dengan Android 4.4 KitKat, serta MiUi 6.0 iaitu antaramuka terkini Xiaomi.

MiUi 6 adalah antaramuka yang direka Xiaomi sendiri dipenuhi dengan pelbagai aplikasi dan fungsi tambahan berbanding antaramuka Android biasa.

INFO

Xiaomi Redmi 2

- Pengeluar: Xiaomi

- Laman FB: XiaomiMalaysia

- Ciri: Telefon pintar peringkat awal

- Pro: Harga murah

- Kontra: Agak lambat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 12:02 PM