MUSTAPA (kiri) bersama Timbalan Menteri MITI Datuk Hamim Samuri pada majlis dialog MITI bersama Persatuan Industri Elektrik dan Elektronik tahun 2015.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengunjurkan peningkatan jumlah eksport antara 4.0 dan 5.0 peratus bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E) tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagi 2014 eksport sektor E&E mencatatkan peningkatan sebanyak 8.0 peratus kepada RM256.1 bilion berbanding RM236.98 bilion yang direkodkan tahun 2013.

Katanya, tahun ini MITI menyasarkan pertumbuhan sederhana bagi sektor E&E kerana ekonomi dunia yang tidak menentu dan persekitaran yang lebih mencabar.

“E&E ini adalah sektor terpenting bagi Malaysia dan menjadi tulang belakang pasaran eksport negara sejak 40 tahun lalu.

“Namun, masih terdapat beberapa segmen yang masih belum kita terokai secara meluas dalam sektor E&E ini dan untuk menangani isu itu juga perlu ada perkara yang memerlukan pindaan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog bersama persatuan industri E&E di sini, semalam.

Menurutnya, sesi dialog tertutup itu membincangkan mengenai sokongan dan insentif untuk industri, isu pekerja asing, pembangunan kepakaran dan kemahiran, pelesenan, cukai barang dan perkhidmatan (GST), isu tenaga dan air serta perjanjian bebas dagangan.

“Hasil perbincangan itu juga, MITI mewakili kerajaan dan pihak swasta sudah bersetuju untuk menubuhkan majlis strategik bagi membincangkan hala tuju E&E.

“Ini juga kali pertama pembabitan saya dengan persatuan industri E&E untuk tahun ini dan ia penting kerana E&E adalah sektor terpenting bagi ekonomi Malaysia yang dianggarkan menyumbang 33.4 peratus daripada jumlah eksport pada 2014,” katanya.

Beliau berkata, jumlah pelaburan bagi industri E&E bagi 2014 turut mencatatkan pertumbuhan sebanyak 16 peratus iaitu sebanyak RM11.14 bilion bagi 96 jumlah projek berbanding RM9.8 bilion tahun sebelumnya untuk 118 projek yang diluluskan.

Mustapa berkata, daripada jumlah itu pelaburan asing terus mendominasi 93.5 peratus daripada nilai pelaburan tahun lalu iaitu RM10.42 bilion dan pelaburan domestik direkodkan sebanyak RM724 juta atau 6.5 peratus daripada jumlah pelaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 8:03 AM