Oleh Hafiz Ithnin dan Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu mewujudkan jaringan bagi memastikan setiap projek rumah mampu milik dipunyaii oleh golongan sasaran bagi melindungi pembeli daripada persaingan spekulator dan ejen perumahan yang mahu mengaut kadar keuntungan ke atas unit yang dibina.

Ketua Pegawai Eksekutif IM Global Property, Ishak Ismail berkata, sistem jaringan yang diguna pakai ini mampu membolehkan individu yang benar-benar mahu memiliki rumah boleh mendapat unit kediaman mereka.

"Tidak dinafikan spekulator mempunyai kuasa beli yang tinggi dan mempunyai pelan pelaburan jangka panjang namun golongan pembeli yang mahu memiliki unit masing-masing juga perlu diteliti.

"Pengumuman Industri Perumahan dalam Bajet 2015 lalu perlu benar-benar sampai ke golongan sasar," katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, insentif kepada pemaju perumahan swasta dalam membangunkan projek mampu milik juga perlu diperkemas supaya mereka dapat membantu ke arah pemilikan hartanah dalam segmen berkenaan.

"Kerajaan perlu menarik pemaju swasta untuk turut serta dalam projek pembangunan mampu milik sama ada membabitkan tanah persendirian, milik kerajaan mahupun wakaf," katanya.

Beliau berkata, pembahagian perumahan mampu milik antara negeri juga perlu dipastikan bersesuaian dengan keperluan dan populasi rakyat di negara ini.

Selain itu, bagi memastikan rakyat tidak terbeban, katanya, perumahan jenis Strata perlu dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atas faktor mempunyai bayaran perkhidmatan dan penyelenggaraan yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:00 AM