PALANIVEL melihat proses pemindahan anak pokok balak.
PELANCONG turut mengambil bahagian.
KANAK-kanak turut mengambil bahagian.
Oleh Mohd Rafi Mamat
rencana@hmetro.com.my

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menanam sebanyak 3,000 pokok balak sempena Program Penghijauan Cameron Highlands membabitkan kawasan seluas 2.5 hektar di Hutan Simpan Siku, Cameron Highlands, baru-baru ini.

Lima spesies pokok balak dalam program itu adalah ru bukit, medang kemangi, damar minyak, geruk dan podo kebal musang.

Ketua Pengarah JPSM, Datuk Seri Abd Rahman Abd Rahim berkata, pihaknya akan terus mengadakan program menanam pokok terutama membabitkan kawasan ceroboh di Cameron Highlands .

Menurutnya, projek yang dibahagikan kepada sepuluh zon itu dalam usaha untuk memulihkan hutan simpan di situ.

Katanya, semua kawasan hutan simpan yang diteroka secara haram oleh individu tidak bertanggungjawab akan ditanam dengan beberapa spesies pokok balak yang sesuai di kawasan tanah tinggi itu.

Bentuk muka bumi Cameron Highlands berbukit, selain masalah laluan ke kawasan berkenaan antara faktor yang menjadi halangan kepada usaha pihaknya untuk mengadakan aktiviti menanam semula pokok.

“Tanggungjawab menanam pokok di Cameron Highlands dilakukan sepenuhnya oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang turut mendapat bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.

“Demi tanggungjawab yang diamanahkan, kita tetap berusaha menjalankan tugas bagi memastikan kawasan hutan simpan terus kekal dengan pokok balak, seterusnya dapat mengelak daripada kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur,” katanya.

Abd Rahman berkata, lebih 400 pelajar sekolah, penduduk setempat dan kakitangan JPNP menyertai aktiviti secara gotong-royong itu.

Katanya, program dengan kerjasama beberapa agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dirasmikan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel yang turut menanam pokok podo kebal musang.

Tahun lalu, pihaknya berjaya menanam sebanyak 1,800 pelbagai spesies pokok balak di kawasan hutan simpan Terla, Cameron Highlands.

Aktiviti pemantauan terhadap projek berkenaan dilakukan secara berterusan.

JPSM katanya, akan menanam sejuta pokok balak daripada pelbagai speseis di kawasan Cameron Highlands membabitkan kawasan seluas 38,771 hektar.

Langkah itu seperti ditetapkan oleh kementerian dalam usaha mengelak berlakunya kejadian hakisan dan banjir lumpur.

Menurutnya, sokongan padu daripada Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Zoal Azha Yusof terhadap program penghijauan Cameron Highlands julung kalinya itu menambahkan lagi semangatnya.

“Saya seronok melihat pelajar, masyarakat setempat, ahli NGO, kakitangan JPNP dan JPSM berada di kawasan tapak pelancaran program seterusnya bergotong-royong menanam pokok mengikut zon disediakan.

“Walaupun terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda sejauh lebih sekilometer sambil mendaki bukit dan cuaca panas, ia bukan penghalang kepada mereka untuk menanam 3,000 pokok secara serentak,” katanya.

Semangat tinggi turut ditunjukkan beberapa pihak apabila turut membawa anak mereka yang masih kecil untuk turut sama menanam pokok.

Abd Rahman berkata, selain terbabit dengan aktiviti penanaman, pihaknya memantau kegiatan pencerobohan kawasan hutan simpan.

Pelajar Universiti Selangor, Farah Adibah Radzi, 20, berkata dia sangat teruja menyertai program menanam pokok walaupun terpaksa mengharungi perjalanan yang panjang.

Katanya, usaha menanam pokok di Cameron Highlands perlu berterusan bagi memastikan pusat pelancongan berkenaan kekal sejuk.

“Saya berpeluang menanam enam pokok yang disediakan pihak penganjur.

“Program seperti ini memberi kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila, terutama apabila terpaksa mendaki bukit dan menaiki kenderaan pacuan empat roda,” katanya yang belajar dalam jurusan pengajian Islam.

Dia juga berharap pokok yang ditanam akan terus membesar seterusnya menjadi benteng kepada aktiviti pencerobohan kawasan hutan simpan Siku oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 11:53 AM