Oleh Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Perpaduan antara umat Islam di negara ini sangat diperlukan dalam usaha membentuk ukhuwah dan kesatuan agama Islam.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohammad berkata, pada masa kini, masyarakat di negara ini bukan hanya perlu untuk memelihara hubungan tetapi harus juga memulihara hubungan yang adakalanya renggang disebabkan berlainan pendapat.

"Selain itu juga hubungan perpaduan dengan kaum lain juga harus dipupuk dan dijaga agar kesatuan kaum ini dapat menangkis dakyah dan anasir dalam menjatuhkan negara," katanya kepada pemberita ketika Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat Sempena Sambutan Maal Hijrah 1436 Hijrah di Masjid Negara petang tadi.

Tambahnya lagi, sempena tema sambutan perayaan Maal Hijrah kali ini iaitu 'Perpaduan Transformasi Negara', umat Islam diseru menjadikan masjid sebagai pusat perpaduan sesama Islam.

"Saya menyeru agar perkasakan masjid dengan majlis ilmu yang bermanfaat agar perpaduan dalam masyarakat itu dapat dibentuk," katanya lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman turut menghadiri majlis itu yang diserikan dengan solat Maghrib dan Isyak, bacaan Yasin dan doa selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 8:31 PM