AZMAN mendekati golongan remaja dengan bermotosikal.
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Pakar motivasi yang juga juara Pencetus Ummah musim kedua, Azman Syah Alias, 33, atau PU Azman meneruskan usahanya mendekati remaja bermasalah kerana baginya mereka adalah harapan negara, bangsa dan agama.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membimbing golongan terbabit.

Azman yang berpengalaman dalam mengendalikan emosi remaja menggunakan pendekatan santai dan melayan mereka seperti rakan.

“Mereka berjiwa rapuh dan mudah terpengaruh. Jika saya menggunakan cara yang kasar, mereka akan pergi lebih jauh.

“Pendekatan yang saya gunakan bukan mengajak mereka datang ke masjid untuk mendengar ceramah saya, sebaliknya saya pergi mencari mereka dengan bermotosikal,” katanya.

Menurut Azman, dia ke padang bola sepak, taman permainan dan lokasi-lokasi lain yang menjadi tumpuan golongan itu.

“Saya kumpulkan mereka di kawasan yang tidak mengganggu orang awam, berbual dan bertanya keadaan mereka.

“Ada yang masih bersekolah dan remaja biasa yang sedang mencari arah tujuan hidup. Perkara asas yang saya nyatakan kepada mereka ialah mendekati agama iaitu bersolat.

“Tiang agama Islam ialah solat lima waktu dan jika Rukun Islam kedua itu mereka dapat laksanakan dengan sempurna, insya­Allah selamat hidup mereka dunia dan akhirat.

“Jangan ‘pergi’ terlalu jauh dengan mereka. Biar mereka faham perkara yang asas dan terpenting dalam kehidupan ini. Selepas itu barulah perlahan-lahan mengajak mereka ke masjid,” katanya.

Azman berkata, untuk memahami kemahuan dan jiwa mereka, golongan dewasa mesti berkawan dengan mereka.

“Apabila mereka sudah menganggap kita sahabat mereka, insyaAllah mereka tidak segan untuk meluahkan perasaan kepada kita,” katanya.

Azman bukan saja berusaha ‘menjinakkan’ remaja di sekitar Seremban tempat asalnya, malah dia pergi sehingga ke Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak.

“Saya juga berkawan dengan ‘mat rempit’. Mereka bukanlah jahat tetapi dek kerana tiada yang memimpin mereka membuatkan mereka terus hanyut.

“Kita kembalikan pemahaman mereka terhadap tanggungjawab mereka kepada diri sendiri dan keluarga mereka. Apa yang saya lakukan setakat ini mereka boleh terima,” katanya.

Terbaru, Azman bakal muncul dalam program Tanya & Ngaji menerusi segmen Ibrah yang akan bersiaran di Astro Oasis tidak lama lagi.

Selain itu, Azman juga minat berlakon dan dia akan muncul dalam drama Bila Hati Telah Hitam.

“Saya akan muncul dalam salah satu episod drama itu. Dari dulu saya memang minat berlakon tetapi lama menuntut

di Mesir, tiada peluang menunjukkan bakat lakonan,” katanya.

Dalam peringkat akhir PU lalu, Azman yang muncul juara menerima wang tunai RM100,000, pakej umrah, pakej percutian pelayaran kapal mewah dan trofi.

Kehebatannya berpidato pada malam itu turut melayakkan Azman menjadi PU Pilihan Prudential BSN Takaful Berhad dan menerima hadiah pakej umrah.

Bagaimanapun kata Azman, dia belum dapat mengerjakan umrah kerana kesibukan jadual hariannya dan sedang mencari tarikh yang sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 1:59 PM