Bendera Singapura di bangunan Parlimen dikibarkan separuh tiang selepas kematian bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew, 3.18 pagi tadi. FOTO Reuters
Oleh Mohamad Fahd Rahmat
Fahd@hmetro.com.my

Singapura: Mayat bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, 91, yang meninggal dunia 3.18 pagi tadi akan dibawa ke kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Temasek di sini, untuk upacara tertutup yang dihadiri ahli keluarga sehingga esok.

Pejabat Perdana Menteri Singapura, dalam satu kenyataan berkata, mendiang kemudian akan dibawa ke Rumah Parlimen di sini, bermula Rabu sehingga Sabtu ini untuk kunjungan orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 8 malam.

Upacara pengebumian negara akan diadakan Ahad ini di Pusat Kebudayaan National University of Singapore pada 2 petang disusuli upacara khas di Mandai Crematorium, di sini.

Terdahulu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Long mengumumkan Hari Berkabung Negara bermula hari ini sehingga Ahad ini.

Kuan Yew dimasukan ke Hospital Besar Singapura pada 5 Februari lalu kerana mengalami radang paru-paru yang teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 9:56 AM