Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu keutamaan diberikan kepada pemain tempatan untuk menyarung jersi kebangsaan namun itu tidak bermakna beliau menolak sepenuhnya cadangan menggunakan pemain naturalisasi.

Beliau berkata, kajian harus dilakukan dengan teliti sekiranya mahu mengambil pemain luar kerana tidak mahu sekadar ‘tangkap muat’ sehingga tidak memberi banyak impak kepada pasukan kebangsaan.

“Kita tengok dulu pemain yang ada dalam negara. Kita kaji dulu siapa (pemain luar), janganlah kita ambil sekadar pelengkap saja. Jika nak ambil pemain naturalisasi kena ambil yang terbaik, kalau sekadar ambil saja tak guna. Pemain itu kena lebih baik daripada apa yang kita ada sekarang,” katanya.

Dalam laporan Arena Metro Sabtu lalu, jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh bersikap terbuka untuk mengambil khidmat pemain luar yang diberikan taraf kerakyatan negara ini sekiranya ia tidak bercanggah dengan peraturan.

Setakat ini hanya pemain kelahiran Australia Brendan Gan yang pernah menyarung jersi negara selepas mendapat taraf kerakyatan tahun lalu namun dia mempunyai pertalian darah apabila bapanya berasal dari Negeri Sembilan.

Isu pemain naturalisasi ini pernah dibangkitkan ketika bekas pengendali sementara Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee mengalu-alukan hasrat penjaring terbanyak Liga Super tahun lalu dari Brazil Paulo Rangel, 30, untuk mewakili negara namun dengan beberapa kekangan seperti faktor usia tampak sukar dilakukan.

Pengambilan pemain naturalisasi tampak sensitif bagi bola sepak sedangkan sudah ada atlet lain pernah diberikan kerakyatan bagi mewakili Malaysia seperti Hidayat Hamidon (angkat berat), Irina Maharani (menembak) dan Yuan Yufang (jalan kaki wanita).

“Saya dimaklumkan sukan lain sudah ambil (atlet naturalisasi), saya tak menyatakan perkara ini tak boleh cuma kena kaji dulu. Keutamaan kepada pemain kita, kalau perlu ambil, ambil yang terbaik. Saya bukan jurulatih tapi kalau dia (Dollah) sudah kata begitu tentu ada rasional,” jelas Tengku Abdullah yang juga Presiden KHM.

Skuad Harimau Malaya seramai 20 pemain akan berlepas ke Muscat hari ini bagi aksi persahabatan dengan Oman dan beliau berharap ada kebangkitan ditunjukkan anak buah Dollah selepas muncul naib juara Piala AFF tahun lalu.

“Saya sudah beritahu Dollah supaya membuat sedikit perubahan dalam pasukan. Saya benar-benar berharap beliau dapat mencari satu pasukan yang ada kekuatan sebab pasukan di Piala Suzuki dulu, kita tahu ada kelemahan jadi kalau boleh diatasi kelemahan itu ia satu kebangkitan,” kata Tengku Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 8:43 AM