MAKANAN sejuk, panas, manis atau masam mengundang gigi sensitif.
Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Penjagaan kesihatan gigi sama penting seperti menjaga bahagian anggota tubuh lain. Malangnya, segelintir individu mengabaikan penjagaan gigi kerana menganggap rawatan untuk ‘barisan mutiara dalam mulut’ itu perkara remeh.

Bagi mendapatkan gigi yang sihat dan kuat, penjagaan sewajarnya dilakukan sejak kecil selepas kanak-kanak tumbuh gigi susu. Namun begitu, masih belum terlambat bagi orang dewasa melakukan penjagaan gigi supaya masalah kerosakan dapat dikurangkan.

Sebelum melakukan penjagaan gigi, penting bagi kita memahami gigi sendiri. Gigi terbahagi kepada tiga bahagian iaitu korona (bahagian yang mudah dilihat apabila anda membuka mulut) manakala leher dan akar gigi pula tertanam dalam gusi dan tulang rahang.

Struktur binaan gigi terdiri daripada enamel iaitu lapisan gigi yang paling keras dan terletak di lapisan luar sekali serta berwarna putih atau kekuningan.

Lapisan bawah enamel yang selalunya lebih lembut dan berwarna kekuningan dikenali sebagai dentin.

Pulpa pula adalah tisu yang terletak di paling tengah dan me­ngandungi urat saraf dan saluran darah yang membawa makanan untuk gigi, manakala simentum adalah lapisan tipis yang mengelilingi akar gigi.

Bagaimanapun, gigi kita tumbuh dengan sokongan gusi iaitu tisu lembut yang mengelilingi leher gigi, tulang alveolus iaitu tulang rahang yang menyokong akar gigi dan membran periodontium iaitu jaringan gentian yang menyokong simentum ke tulang alveolus.

Berdasarkan kajian mengenai penggunaan dan sikap penjagaan mulut yang dilakukan Ipsos, seorang daripada tiga rakyat Malaysia mengalami masalah gigi sensitif menjadikan ia masalah kesihatan mulut paling kerap berlaku di negara ini. Gigi sensitif adalah rasa tidak selesa atau sakit seperti ngilu apabila terkena makanan atau minuman panas, sejuk, manis dan masam serta angin dingin.

Gigi mudah bertindak balas dengan pencetus sensitiviti terbabit sehingga rasa sakit berikutan lapisan dentin pada gigi terdedah akibat lapisan enamel yang terhakis oleh beberapa punca. Lapisan dentin sebenarnya terdiri daripada ribuan liang halus dikenali sebagai tubul dan di dalam tubul itu mengandungi cecair, manakala di pangkal tubul pada lapisan pulpa terdapat sel odontoblast serta saraf.

Pakar pergigian Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Dr Nurul Huda Hasan berkata, kesakitan atau rasa ngilu itu disebabkan pergerakan cecair dalam tubul yang terdedah akibat hakisan enamel pada luar dentin.

“Cecair dalam tubul membawa rangsangan dari permukaan luar dentin yang terdedah balik kepada saraf pada pulpa. Pergerakan cecair sama ada ke depan atau ke belakang menyebabkan gentian saraf meregang atau memampat dan inilah yang mencetuskan kesakitan atau ngilu.

“Oleh itu, apabila makanan atau minuman yang juga pencetus sensitiviti tersentuh hujung tubul yang terdedah, ia akan menggerakkan cecair dalam tubul. Simentum juga menutup liang tubul tetapi lapisannya yang tipis juga mudah terhakis menyebabkan tubul boleh terdedah,” katanya.

Menurutnya, lapisan dentin terdedah disebabkan kehausan permukaan gigi yang berlaku secara aktif seperti tabiat memberus gigi terlalu kerap dan kasar, di samping penggunaan berus gigi tidak sesuai serta bukan disarankan oleh doktor pergigian.

Selain itu, kebiasaan separa fungsi yang dilakukan ketika tidur seperti mengetap gigi, kerap mengambil makanan dan minuman berasid seperti buah-buahan dan jus masam serta minuman berkarbonat juga boleh menghakis lapisan enamel dan mendedahkan lapisan dentin.

“Tabiat pemakanan yang mengurangkan tahap keasidan (pH) mulut mempunyai kesan hakisan yang membawa kepada kehila­ngan mineral sehingga tubul pada dentin terdedah dan menyebabkan gigi sensitif.

“Malah, memberus gigi selepas mengambil makanan dan minuman dengan kadar pH rendah juga boleh mengurangkan enamel dan simentum yang lembut.

“Gangguan pemakanan seperti bulimia yang memuntahkan semula makanan atau seseorang mengalami penyakit refluks gastroesofagus (GERD) juga mudah kehausan permukaan gigi disebabkan makanan terhadam yang dikeluarkan semula sudah bercampur dengan asid.

“Namun demikian, gigi sensitif juga boleh berlaku disebabkan kecederaan gusi akibat memberus gigi terlalu kuat, gigi berlubang, retak dan mengalami penyakit gusi (gingivitis),” katanya.

Sebelum melakukan rawatan untuk gigi sensitif, doktor akan memeriksa gigi pesakit bagi mengenal pasti punca masalah dan mencadangkan penyelesaian yang bersesuaian bergantung pada tahap kerosakan gigi.

Ini kerana punca gigi sensitif disebabkan sikap atau amalan pesakit itu sendiri yang dilakukan secara kerap dan menyumbang kepada masalah lapisan enamel terhakis. Oleh itu, rawatan untuk gigi sensitif termasuk memberi kaunseling kepada pesakit mengenai kekerapan aktiviti yang dilakukan seperti memberus gigi berkali-kali, tabiat separa fungsi dan gemar mengambil makanan serta minuman dengan nilai pH rendah.

“Doktor akan memeriksa bagi mencari punca gigi sensitif seperti gigi yang berlubang atau gusi yang menurun sehingga mendedahkan akar gigi. Mereka juga akan mengenal pasti permukaan bahagian gigi yang terhakis.

“Bagi pesakit mengalami masalah muntah akibat gangguan pemakanan, permukaan bahagian belakang giginya yang akan haus, manakala kebiasaan mengetap gigi menyebabkan permukaan atas gigi menjadi rata.

“Rawatan awal perlu dilakukan pesakit sendiri di rumah seperti mengubah tabiat buruk yang menyebabkan gigi sensitif seperti mengambil pemakanan sihat, teknik memberus gigi, menukar berus gigi yang selamat dan menukar ubat gigi yang mempunyai kandungan untuk merawat gigi sensitif.

“Kandungan mineral dalam ubat gigi sensitif akan membina lapisan perlindungan pada gigi yang terhakis dan membantu menutup liang tubul yang terdedah, sekali gus tidak berlaku pergerakan cecair yang menimbulkan rasa ngilu,” katanya.

Dr Nurul Huda berkata, sekiranya penggunaan ubat gigi sensitif gagal bantu melegakan kesakitan selepas dua hingga empat minggu, barulah rawatan di klinik dilakukan terhadap pesakit. Rawatan profesional dilakukan termasuk melapis kemasan berflorida pada gigi, tampalan resin komposit, sapuan gel permukaan gigi, pancaran laser dan rawatan akar gigi.

“Biasanya, saya menerima pesakit yang sudah menderita gigi sensitif selama empat hingga lima tahun. Mereka pada awalnya mengabaikan penjagaan gigi sensitif tetapi apabila kesakitan sudah tidak tertanggung, baru terfikir untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

“Oleh itu, mereka yang sudah mengalami tanda gigi sensitif ia­itu rasa ngilu ketika mengambil makanan atau minuman panas, sejuk, manis atau masam, perlu segera dapatkan pemeriksaan dan rawatan sewajarnya kerana gigi kekal apabila sudah rosak teruk sehingga perlu dicabut tidak akan tumbuh lagi.

“Ibu bapa perlu mendidik anak mengenai penjagaan kesihatan pergigian dengan mengamalkan memberus gigi dengan teknik betul, membawa berjumpa doktor gigi dan amalan pemakanan sihat untuk gigi,” katanya.

Sementara itu, GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn Bhd (GSK) melancarkan kempen ubat gigi Sensodyne, Tiada Ngilu, Hidup Ceria bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai penjagaan gigi sensitif menerusi rawatan sendiri di rumah sepanjang bulan ini.

Pengarah Pemasaran GSK, Katharine Chen berkata, ramai penghidap gigi sensitif tidak dapat menikmati makanan kegemaran disebabkan tidak mahu rasa ngilu dan kempen berkenaan membantu mereka menangani isu gigi sensitif yang membimbangkan, di samping menggalakkan mereka me­ngawal keadaan gigi menerusi penggunaan ubat gigi yang sesuai.

“Kempen ini membantu lebih ramai penghidap gigi sensitif menikmati makanan kegemaran mereka tanpa perlu risau rasa ngilu. Ini kerana, mengelakkan pengambilan makanan sedemikian tidak membantu mereka bebas daripada kesakitan.

“Sebaliknya, penggunaan harian secara berulang ubat gigi untuk gigi sensitif dapat mengekalkan perlindungan daripada pencetus sensitiviti.

“Malah, peningkatan bila­ngan penghidap gigi sensitif di Malaysia menjadikan kami giat mengembangkan kempen ini supaya dapat mendekati lebih ramai pengguna bagi membantu memupuk kesedaran penjagaan pergigian,” katanya pada majlis pelancaran kempen itu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Pemasaran Penjagaan Oral GSK, Wallace Granja.

Pada majlis sama turut diadakan demonstrasi penyediaan minuman yang boleh dinikmati penghidap gigi sensitif oleh Chef Andri Hadi. Selain itu, GSK juga melancarkan alat pe­nguji gigi sensitif Sensodyne untuk pengguna mengetahui tahap sensitiviti gigi dan mengenal pasti jika mereka bakal menghidap masalah pergigian itu.

Menurut Katharine, ubat gigi Sensodyne mengandungi potasium nitrat yang membantu menyekat rangsangan saraf daripada liang tubul yang terdedah apabila ia mampu meresap ke dalam dentin.

“Strontium asetat pula mempunyai elemen serupa seperti kalsium dan menggantikan kalsium yang hilang daripada dentin dan menutup liang tubul yang terdedah. Ini akan mencegah pergerakan cecair dalam liang tubul yang menyebabkan rangsangan kesakitan.

“Teknologi NovaMin pula terbukti secara saintifik untuk memulih gigi sensitif dengan membentuk lapisan seperti gigi dan menutup permukaan dentin yang terdedah. Kandungan ini sebenarnya memulih bahagian yang terjejas yang menyebabkan rasa ngilu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 11:44 AM