Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

JUARA bertahan, Pahang menempah tiket ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan MISC-MIFA, 2-1, di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Tok Gajah bermula garang dengan sepakan kencang pertahanan Zeshan Rehman pada minit ke-11 hasil hantaran pemain tengah, Mohd Norazam Abdul Azih tetapi tersasar ke kiri gawang.

Peluang terbaik Pahang pada aksi separuh masa pertama hadir pada minit ke-29 apabila pemain tengah, Md Rizua Shafiqi Kamaruzaman gagal menyambar hantaran penyerang, Dickson Nwaekeme.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan memecah kebuntuan dengan membuka jaringan hasil rembatan R Gopinanthan pada minit ke-48 yang menerima hantaran dari Nwaekeme.

Tuan rumah menambah derita pelawat, selepas rembatan dari dalam kotak penalti oleh Mohd Fauzi Rozlan hasil lorongan Nwaekeme pada minit ke-58 untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohd Khairul Izuwan Shaari.

Skuad lawan bimbingan Jacob Joseph yang menjadi wakil tungggal Liga FAM cuba bangkit dengan jaringan tunggal pada masa kecederaan hasil jaringan S Harivarman, tetapi kedudukan kekal 2-1, kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Selepas ini, Pahang dijadualkan bertemu Pulau Pinang pada saingan suku akhir piala berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 10:49 PM