KOMPANY (kanan) mahu rakan sepasukan bangkit selepas tersingkir dari Liga Juara-Juara.
AFP

Manchester, England: Kapten Manchester City, Vincent Kompany menegaskan pasukannya belum berputus asa menjelang pertembungan dengan West Brom pada aksi Liga Perdana Inggeris, malam ini.

City disingkirkan daripada Liga Juara-Juara oleh Barcelona selepas kalah 0-1 pada perlawanan kedua, pusingan kedua di Nou Camp awal pagi kelmarin sekali gus menyaksikan mereka terkeluar 1-3 secara agregat.

Pasukan kendalian Manuel Pellegrini juga ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Chelsea menjelang perlawanan di Stadium Etihad.

Chelsea turut beraksi kurang satu perlawanan berbanding City sekali gus menjadikan mereka pilihan utama namun walaupun semuanya tidak memihak juara bertahan itu, pertahanan Belgium, Kompany enggan berputus asa dengan harapan memuncak tepat pada masanya bagi mengekalkan trofi itu.

“Lupakan mengenai Chelsea. Bagi kami dan kerana penyokong, kami mahu menamatkan kempen ini dengan berjaya,” katanya.

“Lagipun jika kami menamatkan kempen ini sebaik mungkin, pasti ada sesuatu yang positif.

“Kami perlu tunggu dan lihat. Ia tidak mudah tapi kami perlu tampil, bekerja keras dan meningkat.”

City menanti kunjungan Albion dengan harapan melupakan kekecewaan di tangan Barcelona.

Penjaga gol England, Joe Hart, yang bertindak cemerlang menentang kelab gergasi Sepanyol itu, menegaskan pemain City mampu memberi tumpuan terhadap tugas menentang West Brom.

“Kami perlu kembali fokus. Ada pemain yang keletihan tapi kami memiliki skuad fantastik di sini,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 8:15 AM