Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasangan negara Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong meraih pingat gangsa acara 10m platform terjun seirama pada Sirkit Kedua Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2015 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Penerjun China Chen Ruolin dan Liu Huixia merangkul emas dengan mengumpul 324.66 mata manakala pasangan Kanada Meaghan Benfeito dan Roseline Filion yang sebelum ini meraih gangsa pada sirkit pertama mengumpul 321.27 mata untuk perak.

Harapan kepada penerjun negara untuk sekurang-kurangnya mempertahankan perak dimenangi pada siri pertama di China tidak kesampaian apabila sekadar mengumpul 315.18 mata, ketinggalan 3.39 mata kepada gandingan Kanada itu.

Mun Yee berkata, dia berpuas hati dengan gangsa dimenangi kerana masih baru digandingkan dengan Jun Hoong.

“Biarpun gangsa, kami gembira dengan pencapaian ini. Namun banyak yang masih perlu diperbaiki, antaranya gaya terjunan dan saya berharap dapat melakukan yang lebih baik untuk sirkit selepas ini,” katanya.

Kedua-dua penerjun negara itu digandingkan bersama sejak awal tahun ini berikutan gandingan asal Mun Yee, Pandelela Rinong belum sembuh sepenuhnya daripada masalah kecederaan lutut dan hanya diturunkan dalam acara 10m platform individu.

Jun Hoong pula sebelum ini memenangi satu perak dalam acara sama apabila bergandingan dengan Pandelela di Monterrey, Mexico pada siri terakhir musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 6:04 AM