KONSERT Jamaldiiringi MPO akan berlangsung di DFP pada hujung Mac ini.
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Walaupun pentas nyanyian sudah tidak asing baginya, namun, peluang mengadakan persembahan dengan diiringi pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) diakui adalah tanggungjawab besar.

Bagi penyanyi tersohor negara yang mendapat jolokan ‘Raja Pop’, Datuk Jamal Abdillah, 56, beliau kini giat mempersiapkan diri dari aspek mental dan fizikal demi menyahut cabaran itu.

Jamal buat julung kali­nya bakal mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) KLCC dengan diiringi MPO pada 28 dan 29 Mac ini pada jam 3 petang dan 8.30 malam.

Ditemui pada sesi fotografi dan ramah mesra bersama wakil media yang diatur pihak DFP, baru-baru ini, Jamal dilihat amat teruja di sebalik perasaan gundah di hati.

“Ini impian saya dalam karier nyanyian sebagai penghibur yang akhir­nya berjaya memperoleh peluang untuk beraksi di pentas berprestij seperti DFP serta diiringi pemuzik MPO.

“Menjadi anak Melayu kelima akan mengadakan persembahan solo di pentas bertaraf antarabangsa sebegini membuatkan saya teruja.

“Meskipun sudah bertahun-tahun beraksi menyanyi di pentas yang bagaikan sebati dengan kehidupan saya, tetapi debaran dirasakan untuk konsert bersama MPO ini sangat menyesakkan dada,” katanya.

Kata penyanyi yang popular dengan lagu Penghujung Rindu dan Ghazal Untuk Rabiah ini lagi, tidur malamnya juga ada kala terganggu kerana terlalu memikirkan bagaimana perjalanan konsert itu nanti.

Mengakui beliau bimbang memikirkan persembahannya nanti, Jamal berkata, perkara paling ditakuti ialah membuat kesilapan di pentas. Katanya, meskipun dia di tahap senior dan profesional tetapi perkara itu sukar diramal.

“Saya pernah melihat depan mata seorang penghibur terkenal dan profesional terlupa lirik di atas pentas. Jadi, saya tidak mahu perkara itu berlaku pada persembahan saya nanti.

“Ia cukup memalukan lebih-lebih lagi jika persembahan dibuat secara langsung di pentas. Ketika itu, apa saja kesilapan berlaku terpaksa dibiarkan begitu saja,” katanya yang dijangka membuat persembahan selama dua jam.

Persembahan istimewa Jamal bersama MPO itu akan dipimpin Konduktor Residen, Ciaran McAuley. Sebanyak 24 lagu secara solo dan medley akan dipersembahkan Jamal pada konsert yang memaparkan kisah perjalanan karier seninya itu.

Antara lagu dipersembahkan Jamal menerusi interpretasi simfoni MPO ialah Kekasih Awal Dan Akhir, Penghujung Rindu, Derita Cinta, Samrah Mentari, Keluhan Perantau, Azura berserta medley lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee seperti Putus Sudah Kasih Sayang, Hujan Di Tengahari dan Tunggu Sekejap.

Sepanjang memahat nama menjadi anak seni berjaya dan disegani lebih tiga dekad lalu, pelbagai ranjau dan rintangan pernah dilalui Jamal. Namun, bapa kepada dua anak ini tidak pernah gentar dan cekal menghadapinya.

Justeru, jualan tiket yang turut mendapat sambutan hangat untuk persembahan dua hari itu masih boleh diperoleh orang ramai pada harga antara RM480 hingga RM180. Keterangan lanjut dan tempahan boleh e-mel kepada dfp_boxoffice@petronas.com.my atau talian 03-2051 7007 serta laman sesawang MPO, www.mpo.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:13 AM