TUMPAT 09 September 2014. Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Hussain Awang, melawat sebahagian 125 murid Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor Satu yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 di dewan sekolah tersebut. NSTP/Fathil Asri.
Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Dua laporan polis dibuat berhubung dakwaan kebocoran kertas soalan Ujian Percapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 bagi mata pelajaran Bahasa Tamil dan Matematik, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu yang dibuat pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, pagi tadi. 

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 8 (1) Akta Rahsia Rasmi 1972. 

Kedua-dua laporan terbaru itu akan disiasat oleh pasukan sama yang menyiasat kes kebocoran soalan Science dan Bahasa Inggeris sebelum ini.

Menurut jadual peperiksaan UPSR, calon menduduki kertas Bahasa Tamil dan Matematik pada 10 Sept lalu.

Sebelum ini, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dan kertas 
peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 didakwa telah bocor dan Lembaga Peperiksaan tetapkan 30 Sept ini sebagai tarikh baru peperiksaan kedua-dua mata pelajaran itu 

Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan 30 individu yang terdiri daripada pegawai LPM, guru, wartawan, ejen insurans dan jurutera bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 September 2014 @ 8:58 PM